YB 'sekolahkan' MBMB ekoran wanita Melaka berdepan detik memalukan ketika joging tengah malam


  • Primer
  • Jumaat, 11 Apr 2025

Kes cabul melibatkan seorang wanita ketika bersenam berlaku di Taman Bandaraya Bukit Serindit, Melaka pada Khamis. — Gambar hiasan

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menggesa pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk mengambil tindakan tegas susulan kes seorang wanita yang hampir dicabul ketika bersenam di Taman Bandaraya Bukit Serindit, Melaka pukul 11 malam Khamis.

Beliau menerusi kenyataan di Facebook pada Jumaat berkata, pihaknya sudah menghubungi Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman untuk meningkatkan rondaan anggota penguatkuasa di kawasan itu.

Katanya, para ‘joggers’ juga diminta lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti riadah di kawasan sunyi pada waktu malam. 

BACA LAGI: [VIDEO] Tak membazir masa, guru Malaysia patut tiru sistem 'kyushoku' sekolah Jepun, didik murid tertib makan

BACA LAGI: Jangan takut dilabel 'jibam', tiada tempat untuk pembuli di IPMA, MRSM — Asyraf Wajdi

Sebelum ini, beliau menerima maklumat bahawa wanita berusia 20 tahun itu menjadi mangsa cabul seorang lelaki berusia 27 tahun, dipeluk dari belakang, ditekup mulut dan cuba ditarik ke dalam semak ketika bersenam.

Cubaan itu bagaimanapun gagal selepas berjaya disedari orang awam yang berada di kawasan berhampiran. 

Susulan itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan lelaki berasal dari Jasin, Melaka itu berjaya ditahan pukul 12.05 pagi Jumaat berdekatan lokasi kejadian.

"Suspek ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes cabul seorang gadis yang sedang bersenam seorang diri di taman rekreasi itu.

"Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek bagaimanapun mendapati dia bebas dari sebarang penyalahgunaan dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama empat hari bermula Jumaat sehingga 14 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, kesalahan mencabul kehormatan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sebat atau denda atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram