
SEORANG wanita berusia 24 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa diserang secara secara fizikal oleh majikannya.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, polis sebelum ini mengesan video tular dimuat naik akaun Facebook, Jabatan Netizen Negara yang menunjukkan insiden membabitkan individu dipercayai majikan yang dipercayai menyerang seorang wanita.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku di sekitar kawasan Taman Rishah di Ipoh, Perak.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
“Susulan penyebaran video itu, pada 22 Mei kira-kira pukul 2.10 petang, seorang wanita berusia 24 tahun membuat laporan polis.
“Siasatan awal mendapati semasa pengadu sedang bekerja, salah faham berlaku selepas dia membuka surat yang ditujukan kepada suspek.
“Suspek kemudian bertindak balas dengan menolak komputer riba yang digunakan pengadu menyebabkan ia terkena di mukanya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Abang Zainal Abidin berkata, pengadu sudah menerima rawatan dan pemeriksaan kesihatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Beliau berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan secara sengaja.
“Kami sedang merakam keterangan beberapa saksi yang hadir di tempat kejadian bagi membantu siasatan.
“Kami telah mengenal pasti suspek, dan tindakan sedang diambil mengikut prosedur undang-undang.
“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video, atau maklumat tidak sahih berkaitan kejadian itu bagi mengelak sebarang gangguan kepada proses siasatan,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram