
SUKAN sepatutnya menjadi wadah kepada perpaduan dan bukannya tempat mendorong kepada perpecahan.
Namun begitu, perkara itu kelihatan berlaku dalam sebuah kejohanan bola sepak yang diadakan di Negeri Sembilan sehingga berlakunya detik yang tidak diingini.
Menurut perkongsian Rombes FC di Facebook, situasi tegang berlaku melibatkan perlawanan antara Klawang dan Port Dickson dalam Kejohanan Bola Sepak Sukan Kolej Vokasional (SuKoV).
BACA LAGI: Pingat dirampas tanpa bukti, jurulatih kecewa atlet Semporna jadi mangsa berat sebelah juri MSSD
BACA LAGI: Atlet Hulu Selangor pecah 24 rekod MSSD termasuk 2 catatan usia 14 tahun
Dengan Klawang sebagai tuan rumah, mereka mempunyai sekumpulan penyokong yang hadir memberikan sokongan. Akan tetapi, tindakan pemain dan penyokong tuan rumah dilihat agak keterlaluan.
Hal ini kerana, ketika perlawanan didahului oleh Klawang dengan 1-0, Port Dickson berjaya menyamakan kedudukan. Ia menyebabkan pemain Klawang menumbuk pemain Port Dickson selepas provokasi dilakukan oleh penyokong dengan mereka memasuki ke padang.
Keadaan serupa berlaku apabila Klawang menjaringkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan. Usai perlawanan, situasi lebih tegang berlaku dengan ia turut melibatkan jurulatih dan barisan pemain simpanan Port Dickson.
"Perlawanan berkesudahan dengan 2-1 selepas tuan rumah menjaringkan penalti di saat akhir. Selepas tamat perlawanan penyokong berlari memasuki padang dan ada pemain Port Dickson dipijak, disiku dan macam-macam lagi.
"Yang paling sadis ada pemain simpanan berlari ke bangku simpanan Port Dickson dan menunjukan isyarat lucah kepada jurulatih merangkap guru Kolej Vokasional Port Dickson," katanya.
Kesan kecederaan dialami pemain Port Dickson dipercayai akibat diserang penyokong lawan.
Pengurusan pasukan Port Dickson kemudiannya melakukan protes akibat situasi tegang yang menyebabkan pengadil melayangkan tiga kad merah kepada pemain Klawang.
Namun begitu, protes yang dilakukan tidak dilayan kerana Port Dickson tidak mempunyai bukti video mengenai apa yang terjadi.
"Barisan jurulatih Port Dickson mengemukan protes pada penganjur selepas perlawanan kerana melihat situasi tegang dan penganjur dilihat tidak dapat mengawal pemain dan penyokong tuan rumah sehingga mengancam keselamatan pemain Port Dickson.
"Tetapi apakan daya, penganjur adalah tuan rumah, pengelola yang membuat keputusan juga adalah rumah. Jadi keputusan sudah semestinya tuan-tuan sudah boleh agak, bukan?
"Dalam mesyuarat protes, penganjur cakap kalau ada bukti video kene siku, tumbuk, cakar baru mereka percaya. Silaplah budak-budak ni patut masa main bola tu bawa kamera seorang satu," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram