[VIDEO] Dua kali kena serangan jantung bukan alasan Airulmi berhenti berlari, kini sasar sertai London Marathon 2026


  • Podium
  • Khamis, 15 Mei 2025

Airulmi berjaya menamatkan Tokyo Marathon dua berturut-turut.

BAGI pelari maraton Airulmi Mokhtar, kehidupan adalah satu perlumbaan panjang yang penuh cabaran dan kebangkitan dengan kisahnya pernah berdepan serangan jantung hampir meragut nyawa menjadi inspirasi buat orang ramai. 

Pernah mengalami dua kali serangan jantung apabila pembuluh darah jantungnya tersumbat lebih 90 peratus semasa menjalani gaya hidup aktif, Airulmi bangkit meneruskan kehidupan lebih sihat dan positif, bahkan berjaya menamatkan Tokyo Marathon dua berturut-turut.

Airulmi yang sebelum ini menjalani kehidupan kurang sihat dengan berat mencecah 110 kilogram serta merokok secara tegar, mengakui perubahan drastik hanya bermula selepas kehilangan anak bongsunya pada 2014.  

BACA LAGI: [VIDEO] Sasar 12,000 peserta, IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 seru pelari jadi ‘legenda’

BACA LAGI: Kerajaan Johor anjur maraton antarabangsa, sasar tingkat sektor pelancongan sukan

Airulmi ketika berat badannya mencecah 110 kg.

Kejadian tragis itu diikuti pemergian ibunya dan pakciknya dalam tempoh sebulan. Ia membuatkan lelaki berusia 48 tahun berkenaan membuat refleksi akan kehidupannya dan tekad mahu menjalani kehidupan aktif. 

"Saya tengok life is short. Sebab isteri saya terpaksa berhenti kerja nak jaga anak nombor dua (anak autisme). Kalau saya meninggal macam mana yang hidup ni? Jadi, saya kena ubah lah. Saya tak tahu nak buat apa. 

"Saya main badminton tapi main badminton kena cari kawan, kena sewa gelanggang. Jadi paling senang berlari dalam erti kata lain, jogging. Jogging ini tak ada skill. Tak payah sewa. Ambil kasut terus lari. 

"Alhamdulillah saya dapat ubah. Saya berjaya menurunkan berat badan. Saya berhenti rokok. Sekarang dah 15 tahun, Alhamdulillah. Saya berjaya tukar lifestyle 100 peratus," kata ayah kepada tiga orang anak kepada Majoriti.

Ailrulmi bersama isteri dan dua orang anaknya.

Tragedi itulah yang menjadi titik tolak perubahan hidupnya dan mula berlari pada 2016, menukar gaya hidup sepenuhnya. Malah, minatnya terhadap larian bukan sekadar hobi, bahkan menjadi aktiviti keluarga yang disertainya bersama isteri dan dua anaknya.

Namun, pada 2020, ketika sedang menjalani latihan intensif untuk Tokyo Marathon, Pengurus Kanan Operasi di sebuah GLC (syarikat berkaitan kerajaan) itu, diserang jantung semasa sesi larian malam.

“Saya ingatkan asma. Tapi malam kedua, serangan lebih kuat. Bila pergi hospital, rupanya ada 90% blockage. Esok pergi hospital, baru saya tahu itu jantung. Saya masuk stent dan saya survive lagi.

"Masa malam itu, nasib baik saya berpaut pada tiang lampu dengan malam tiada orang selamatkan. Mungkin saya tak dekat sini," ujarnya yang kemudian menjalani prosedur memasukkan stent ke dalam arteri dan terselamat.

Ailrulmi ketika dirawat di hospital akibat serangan jantung.

Lebih mengejutkan, serangan jantung kedua berlaku lagi kepada Youtuber berkenaan pada 2023 ketika menyertai satu larian 10 kilometer untuk IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024 di ibu negara.

Berbekalkan pengalaman lalu, Airulmi segera menghentikan larian dan berjalan kaki sehingga tamat. Pemeriksaan perubatan selepas itu mengesahkan satu lagi blockage pada salur darah jantung yang sebelum ini hanya 50-60 peratus sudah berkembang ke 90 peratus dalam masa tiga tahun.

Kini, selepas prosedur kedua dan dengan dua stent dipasang, Airulmi terus aktif namun lebih berhati-hati. 

“Saya masih lari, tapi bukan lagi untuk kejar masa. Saya ikut nasihat doktor, lari secara santai dan buat video. Saya nasihatkan untuk mulakan dengan pemeriksaan kesihatan penuh. Dari situ kita tahu apa risiko kita. 

"Jangan ukur gaya hidup sihat berdasarkan berapa jauh awak boleh lari, tapi berdasarkan kualiti hidup yang awak dapat lepas tu," jelasnya yang menamatkan Tokyo Marathon pada 2023 dan 2024 menjadi bukti semangat kentalnya walaupun pernah tewas secara fizikal.

Kisah hidupnya yang dikongsi melalui blog dan saluran YouTube menarik perhatian ramai. Apa yang bermula sebagai catatan peribadi kini menjadi ruang motivasi buat individu lain yang berdepan isu kesihatan. 

Kini, Al-Rumie dalam perancangan menyertai London Marathon 2026 salah satu daripada ‘World Marathon Majors’. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram