Menjelang LIMA'25, 60,000 tiket feri terjual di Langkawi


  • Massa
  • Ahad, 18 Mei 2025

Sebanyak 60,000 tiket feri ke Langkawi terjual menjelang sambutan LIMA'25. — The Star

SEBANYAK 60,000 tiket feri pergi dan balik dari tanah besar ke Langkawi, Kedah sudah terjual sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) yang akan bermula pada Selasa nanti (20 Mei).

Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line), Lt Commander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, jumlah tiket yang dijual meliputi tempoh 20 hingga 25 Mei menerusi pembelian tiket secara dalam talian dan kaunter dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Langkawi dan begitu juga sebaliknya.

"Dari 20 hingga 25 Mei lalu, sebanyak 113,000 tiket telah disediakan dalam sistem tiket Ferry Line dan daripada jumlah itu sebanyak 60,000 telah dijual.

"Ferry Line juga menambah 122 laluan tambahan berdasarkan jualan tiket yang memberangsangkan.

"Laluan feri juga memanjangkan waktu perkhidmatan untuk perjalanan tambahan sehingga 10 malam untuk kedua-dua arah antara Langkawi dan Kuala Perlis dan Langkawi dan Kuala Kedah.

"Ini membolehkan orang ramai yang ingin melawat LIMA'25 keluar masuk dari Langkawi pada hari yang sama tertakluk kepada ketersediaan perjalanan feri," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

BACA LAGI: Pekerja spa cedera disimbah asid lelaki tidak dikenali di Bachok

BACA LAGI: Ambil iktibar kes budak 2 tahun jatuh pangsapuri di Putrajaya, letak sofa dekat balkoni dan tingkap boleh jadi 'tangga maut'

Sementara itu, beliau berkata, bagi mengatasi kesesakan yang dijangka berlaku di terminal feri Kuala Perlis dan Kuala Kedah, penumpang dinasihatkan berada di terminal sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu berlepas feri yang dijadualkan bagi mengelak daripada terlepas.

"Kami juga menasihatkan penumpang untuk merancang perjalanan mereka lebih awal dengan membeli tiket pergi dan balik melalui aplikasi ‘Cuti-Cuti Langkawi’,” katanya.

Dalam pada itu, Norhafiz berkata, sambutan dan permintaan tiket feri untuk edisi LIMA'25 kali itu jauh lebih tinggi berbanding LIMA'19 dan LIMA'23.

"Bagi LIMA'19, sebanyak 25,000 tiket terjual dengan 64 perjalanan, manakala untuk LIMA'23 sebanyak 31,138 tiket dengan 64 perjalanan dilakukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram