
USAHA penambahbaikan perkhidmatan pos di Gunung Kinabalu yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Pos Malaysia akan memberi manfaat kepada pelancong dan memastikan kualiti pengalaman yang lebih baik selaras dengan kemajuan teknologi.
Dalam satu kenyataan, MCMC menyatakan bahawa kehadiran perkhidmatan Pos di Gunung Kinabalu bukan sekadar kemudahan biasa, tetapi menjadi simbol ikonik komunikasi sehala yang menghubungkan dunia dari puncak tertinggi sebagai kenangan yang bermakna.
Sesi lawatan kerja selama tiga hari ke Peti Pos Gunung Kinabalu oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, yang bermula pada 28 April, adalah sebahagian daripada inisiatif mempromosikan perkhidmatan Pos yang telah ditambah baik di lokasi tersebut.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Lawatan itu turut memaparkan reka bentuk poskad edisi terhad serta pengenalan kepada cop pembatalan baharu untuk poskad yang dihantar dari Gunung Kinabalu.
Di dalam lawatan kerja tersebut, Teo Nie Ching turut menerima taklimat daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi mengenai kerjasama mereka dalam menyediakan perkhidmatan telekomunikasi yang lebih baik kepada para pelancong yang mendaki Gunung Kinabalu.
Nie Ching (tengah) memaparkan reka bentuk poskad edisi terhad dan pengenalan kepada cop pembatalan baharu untuk poskad yang dihantar dari Gunung Kinabalu.
"Sebagai langkah berterusan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan di kawasan beraltitud tinggi ini, sesi pengujian kualiti perkhidmatan menggunakan aplikasi MCMC Nexus telah dilaksanakan. Aplikasi dibangunkan MCMC ini membolehkan pemantauan dan penilaian menyeluruh terhadap pengalaman pelanggan, termasuk di Gunung Kinabalu," kata kenyataan itu.
MCMC turut menegaskan bahawa kerajaan MADANI melalui Kementerian Komunikasi dan MCMC akan terus memperkasa infrastruktur komunikasi di kawasan pelancongan strategik seperti Gunung Kinabalu bagi memastikan keselesaan para pengunjung.
Kehadiran perkhidmatan Pos di Gunung Kinabalu menjadi simbol ikonik komunikasi sehala yang menghubungkan dunia dari puncak tertinggi sebagai kenangan yang bermakna.
Selain itu, MCMC menyatakan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, dan pihak berkepentingan adalah penting dalam merealisasikan agenda penambahbaikan perkhidmatan pos.
Jelasnya, inovasi dalam bidang komunikasi dan perkhidmatan pos bukan sahaja meningkatkan kemudahan untuk rakyat dan pelancong, tetapi mengharumkan nama Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Turut hadir pada majlis penutupan lawatan kerja Timbalan Menteri Komunikasi adalah Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin; Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya; Ketua Pegawai Pemasaran, Komunikasi dan Kelestarian Kumpulan Pos Malaysia, Fiona Liao; dan Ketua Penolong Pengarah Taman Sabah, Justinus Guntabid.
Acara terbabit juga dihadiri oleh wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, serta syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dari CelcomDigi, U Mobile, TM, dan Maxis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram