MCMC lancar projek hantar ubat guna dron ke pedalaman, fasa pertama libat 2 lokasi


  • Primer
  • Ahad, 11 Mei 2025

Anwar (depan, kanan) ketika melawat reruai NADI dan diberi taklimat mengenai inisiatif baharu berteraskan teknologi tersebut ketika program PMR pada Ahad.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menyertai Program MADANI Rakyat (PMR) di Tawau, Sabah dengan memperkenalkan projek strategik berimpak tinggi kepada komuniti luar bandar termasuk perkhidmatan penghantaran ubat menggunakan dron.

Menurut MCMC, inisiatif itu adalah projek perintis untuk menilai keberkesanan penggunaan dron dalam penghantaran ubat-ubatan dari klinik kesihatan ke pusat NADI yang terpilih di kawasan pedalaman termasuk pulau dan kawasan dengan akses jalan terhad.

Fasa pertama penghantaran ubat menggunakan dron dijangka bermula pada suku keempat tahun 2025 melibatkan dua lokasi NADI, termasuk di Tawau. 

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

"Projek itu kemudian akan diperluaskan kepada 150 buah NADI pada 2026 dan seterusnya merangkumi kesemua 392 buah NADI menjelang tahun 2027," menurut MCMC dalam satu kenyataan.

Perasmian program PMR pada Sabtu itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut melawat reruai NADI sambil diberi taklimat mengenai inisiatif baharu berteraskan teknologi tersebut.

Salah satu tarikan utama reruai NADI ialah pameran inisiatif penghantaran ubat menggunakan dron hasil kerjasama MCMC bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai rakan utama dan rakan strategik lain termasuk MRANTI dan syarikat penyedia teknologi dron tempatan.

MCMC berkata, buat masa ini, terdapat sebanyak 1,099 buah NADI di seluruh negara.

Mengulas lanjut, suruhanjaya itu menjelaskan bahawa pelaksanaan tersebut merupakan satu langkah proaktif menyokong agenda kerajaan memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan masa hadapan lebih berkualiti dan saksama kepada penduduk luar bandar, selari dengan kemajuan teknologi 5G serta kecerdasan buatan (AI).

Selain projek dron, reruai NADI di PMR Tawau turut menampilkan pelbagai aktiviti di bawah lima teras utama Perkhidmatan Pintar NADI iaitu Keusahawanan, Kesihatan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesedaran IT dan Perkhidmatan Kerajaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram