Lepas 11 tahun, Malaysia ucap selamat tinggal kepada panda Xing Xing dan Liang Liang


  • Massa
  • Ahad, 18 Mei 2025

Kenderaan yang membawa Fu Wa dan Feng Yi dilihat bergerak keluar dari Zoo Negara kira-kira pukul 7.15 pagi Ahad.

SERAMAI kira-kira 40 pencinta panda berkumpul di Zoo Negara pada awal pagi Ahad (18 Mei) untuk mengucapkan selamat tinggal kepada duo Fu Wa (Xing Xing) dan Feng Yi (Liang Liang) yang akan kembali ke China selepas 11 tahun berada di Malaysia.

Walaupun tiada majlis perpisahan rasmi diadakan, terdapat peminat mereka datang sejauh dari Seremban, Kuala Lumpur dan Selangor tiba seawal pukul 5 pagi. 

Kumpulan tersebut menunggu untuk keberangkatan pulang panda terbabit ke KLIA, di mana duo itu akan memulakan perjalanan pulang ke China.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Pada kira-kira pukul 7.15 pagi, kenderaan membawa Fu Wa dan Feng Yi dilihat bergerak keluar dari Zoo Negara. 

Emosi memuncak apabila peminat melambai, dengan ada antara mereka melakukan siaran langsung dan merakam foto sewrta video. 

Antara hadirin yang datang turut menjerit, "Selamat tinggal Fu Wa dan Feng Yi!"

Kehadiran dua panda itu adalah sebahagian daripada program pinjaman panda China, sebagai tanda muhibah kepada kedua-dua negara yang memiliki hubungan diplomatik kukuh. 

Pasangan haiwan terbabit tiba di Zoo Negara juga sebagai tanda 40 tahun hubungan Malaysia-China. 

Setelah menetap di Malaysia, mereka menerima nama baharu: Fu Wa menjadi Xing Xing, bermaksud 'kemakmuran', manakala Feng Yi dinamakan semula sebagai Liang Liang, bermaksud 'cantik'.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Datuk Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata, penjaga panda, Mohd Saiffullah Md Yusuf akan menemani panda itu ke China dan tinggal selama beberapa hari untuk membantu mereka membiasakan diri dengan persekitaran baharu.

Pasangan haiwan terbabit tiba di Zoo Negara sebagai tanda 40 tahun hubungan Malaysia-China. 

"Panda dalam keadaan sihat. Kami sentiasa menyokong program pemuliharaan panda. Saya amat menghargai peminat yang datang. Walaupun ia bukan perpisahan rasmi, kehadiran mereka menunjukkan betapa mereka mengambil berat," katanya.

Salah seorang peminat, Chin Lee Peng, 56, tiba di Zoo Negara pada pukul 5 pagi bersama tujuh rakannya. 

Selepas melihat panda itu keluar, dia bercadang untuk menuju ke lokasi berhampiran lapangan terbang untuk melihat sekilas pesawat mereka berlepas.

Sejak dia mendengar panda terbabit akan pergi dan menjalani kuarantin selama sebulan, dia melawat zoo setiap hujung minggu untuk mengucapkan selamat tinggal kepada haiwan tersebut.

“Emosi saya agak reda sekarang, tetapi sudah tentu saya masih berasa sedih.

"China adalah rumah mereka dan tempat mereka berada, jadi saya hanya berharap mereka menjalani sisa hidup mereka dalam kesihatan dan kebahagiaan yang baik," tambahnya.

Lee Peng turut berkongsi harapannya agar akan ada panda lain dihantar ke Malaysia pada masa akan datang. 

Dalam pada itu, dia sudah merancang untuk melawat Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan China untuk Panda Gergasi di Wolong, China minggu depan, untuk melihat Sheng Yi – anak panda ketiga Malaysia – yang berusia empat tahun pada 31 Mei.

Seorang lagi peminat panda, Lily Atikah, 27, berkata, dia tiba di zoo pada pukul 5.30 pagi. 

Seperti kebanyakan hadirin lain, hatinya dipenuhi dengan kesedihan atas kepulangan panda tersebut ke negara asalnya.

“Saya sangat berharap Malaysia akan menerima satu lagi pasangan panda.

“Program ini merupakan contoh indah kerjasama pemuliharaan antara Malaysia dan China.

"Sudah tentu, pergi ke China untuk melihat mereka perlu melihat kepada keadaan kewangan saya, tetapi jika kita mempunyai panda di Zoo Negara, kita boleh melawat pada bila-bila masa. Saya pasti tidak sabar untuk mengalu-alukan yang baharu," tambahnya.

Semasa berada di Malaysia, Fu Wa dan Feng Yi turut membina keluarga, dan melahirkan tiga anak: Nuan Nuan, lahir pada 18 Ogos 2015; Yi Yi, pada 14 Januari 2018; dan Sheng Yi, pada 31 Mei 2021. 

Menariknya, 31 Mei juga merupakan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) mengumumkan bahawa terdapat perjanjian baharu itu ditandatangani pada 16 April semasa lawatan negara Presiden China ke Malaysia.

Kerjasama itu membolehkan Malaysia menjadi tuan rumah sepasang lagi panda gergasi dari 2025 hingga 2035, meneruskan Projek Kerjasama Antarabangsa mengenai Pemuliharaan Panda Gergasi dengan China.

Bagaimanapun, Malaysia sedang bersedia untuk menerima sepasang panda gergasi baharu pada Ogos 2025, berikutan pemergian pasangan semasa, Fu Wa dan Feng Yi.

Ini adalah sebahagian daripada perjanjian 10 tahun baharu antara Malaysia dan China untuk Projek Kerjasama Antarabangsa mengenai Pemuliharaan Panda Gergasi. — The Star/KHOO GEK SAN        

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram