Nahas FRU: Pemandu lori batu berdepan 9 pertuduhan


Tertuduh, Rudi (memakai pelitup muka) ketika hadir di Mahkamah Sesyen pada Jumaat.

PEMANDU lori membawa muatan batu yang terbabit dalam kemalangan tragis meragut nyawa sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam di Teluk Intan, Perak pada Selasa lalu, didakwa atas sembilan pertuduhan di Mahkamah Sesyen pada Jumaat.

Tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua sembilan pertuduhan itu yang dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu lori jenis Hino dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian sembilan penama sekitar pukul 9.05 pagi 13 Mei lalu di Kilometer (KM) 15 Jalan Sungai Manik, daerah Hilir Perak. 

BACA LAGI: Pemandu lori direman, 5 anggota FRU terlibat nahas masih kritikal

BACA LAGI: [VIDEO] Jangan terus imbas, scammer letak surat saman ‘Akta Pengangkutan Jalam’ dekat parkir pasar raya

Pendakwaan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Francis Sinnappan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan 10 tahun serta denda maksimum tidak melebihi RM50,000, dan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.

Peguam bela dalam hujahnya memohon jaminan minima dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan kira-kira RM2,000 sebulan, menghidap penyakit asma dan menetap di daerah Hilir Perak, serta memberi jaminan kehadiran ke mahkamah.

Mahkamah membenarkan jaminan keseluruhan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, lesen memandu tertuduh turut digantung sehingga kes selesai mengikut Seksyen 41(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh juga diarah melaporkan diri di balai polis berhampiran seminggu sekali. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram