Angkara doktor gigi, 2 jurutera maut lepas jalani prosedur transplan rambut di India


  • Benua
  • Ahad, 18 Mei 2025

Kedua-dua mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas menjalani prosedur transplan rambut yang dijalankan seorang doktor gigi di sebuah klinik swasta. — Agensi

DUA jurutera di Kanpur, Uttar Pradesh, India dilaporkan meninggal dunia selepas menjalani prosedur transplan rambut yang dijalankan seorang doktor gigi di sebuah klinik swasta.

Doktor gigi itu, yang dikenali sebagai Dr Anushka Tiwari, mengendalikan Klinik Empire di kawasan Rawatpur di Kanpur, bersama suaminya, Dr Saurabh Tripathi. 

Menurut pegawai polis yang mengetahui mengenai kes terbabit, pasangan berkenaan yang kedua-duanya memegang ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian didakwa menggaji kakitangan tidak terlatih untuk membantu melaksanakan prosedur perubatan.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Insiden pertama terbongkar apabila seorang wanita, Jaya Tripathi yang merupakan isteri kepada Vineet Dubey, 40 tahun, membuat aduan di portal ketua menteri terhadap Klinik Empire. 

Tripathi mendakwa Dubey menjalani prosedur transplan rambut pada 13 Mac dan mengalami jangkitan teruk, menyebabkan muka bengkak, sakit teruk, dan meninggal dunia pada hari berikutnya.

Pihak berkuasa memaklumkan siasatan mengenai kes terbabit sudah dijalankan pada  9 Mei lalu kerana melibatkan kesalahan menyebabkan kematian kerana kecuaian.

Keadaan muka salah seorang mangsa (kiri) selepas menjalani prosedur transplan rambut di klinik tersebut. — Agensi

Difahamkan, Dubey mungkin menerima jangkitan semasa prosedur yang tidak dirawat dan mengakibatkan kemerosotan drastik kesihatannya.

Berikutan perhatian orang ramai mengenai kes tersebut, satu lagi kes serupa turut ditemui. 

Kushagra Katiyar memfailkan aduan dengan Pesuruhjaya Polis Kanpur Akhil Kumar, mendakwa abangnya yang berusia 30 tahun, Mayank Katiyar, juga meninggal dunia selepas menjalani prosedur transplan rambut di Klinik Empire yang sama. 

Menurut Katiyar, Mayank menjalani prosedur itu pada 18 November tahun lalu dan pulang ke rumahnya di Farrukhabad pada hari sama. 

Abangnya kemudian mengadu sakit dada yang teruk dan mengalami muka bengkak. 

Walaupun mendapat rawatan perubatan, keadaan lelaki terbabit semakin teruk dengan mangsa meninggal dunia pada keesokan harinya ketika dibawa pulang ke Kanpur untuk rawatan lanjut.

Dr Anushka Tiwari yang merupakan suspek utama, dilapor sudah melarikan diri. 

Dalam pada itu, pihak berkuasa juga melancarkan siasatan terperinci mengenai operasi klinik dan kemungkinan pelanggaran protokol perubatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram