Dua penjenayah disyaki ahli kongsi gelap terbabit lebih 70 kes samun ditembak mati di parkir kondo Nilai


  • 112
  • Jumaat, 16 Mei 2025

Kenderaan polis turut mengalami kerosakan semasa berbalas tembak, namun tiada anggota polis cedera.

DUA lelaki yang aktif melakukan kegiatan rompakan, peras ugut dan pengedaran dadah mati ditembak selepas terlibat dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di tempat letak kereta sebuah kondominium di Nilai, Negeri Sembilan pada Khamis.

Suspek berusia 29 dan 40 tahun itu dikesan di kondominium itu oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dari Bukit Aman dan Negeri Sembilan pada kira-kira pukul 10 malam dalam operasi dikenali sebagai "Ops Api 3".

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, anggotanya pada awalnya cuba menahan suspek tetapi mereka melepaskan tembakan, memaksa polis membalas tembakan bagi mempertahankan diri.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

“Kedua-dua lelaki maut di tempat kejadian.

“Seorang daripada suspek memiliki pistol semi-auto manakala seorang lagi memiliki revolver,” katanya.

Menurut Fadil, suspek merupakan sebahagian daripada kumpulan samun bersenjata yang aktif dalam kes pecah rumah dan merompak kilang dan pusat bungkusan kurier di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

“Suspek berusia 29 tahun mempunyai rekod terdahulu sebanyak 11 kesalahan jenayah manakala suspek berusia 40 tahun mempunyai rekod bagi 76 kesalahan,” tambahnya.

Fadil berkata, kenderaan polis turut mengalami kerosakan semasa berbalas tembak, namun tiada anggota polis cedera.

“Kami tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek juga ahli kumpulan kongsi gelap berdasarkan penggunaan senjata api.

"Kami juga percaya kondominium itu adalah salah satu transit atau rumah selamat mereka. Kami telah mengenal pasti lokasi lain yang serupa," katanya.

Beliau berkata, JSJ akan meneruskan operasi memburu saki-baki kumpulan samun itu dan menyasarkan untuk mendapatkan semula barang rampasan yang dicuri.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai kes tersebut untuk tidak menggangu operasi mengesan suspek lain. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram