[VIDEO] 'Harap dianugerah pangkat, dapat rumah' warga emas susuri pantai Marang rupanya bekas komando VAT 69


  • Massa
  • Rabu, 14 Mei 2025

Tangkap layar video memaparkan Yak Embong dilihat berjalan di sekitar pantai di Marang, Terengganu.

IDENTITI seorang lelaki warga emas yang berlegar-legar dengan pakaian lusuh di sekitar pantai Marang, Terengganu sebelum ini akhirnya dikenal pasti. 

Menerusi video tular di media sosial sejak Rabu, warga emas yang bernama Yak Embong sering berjalan seorang diri di sebuah pantai di Marang.

Lelaki tersebut ternyata pesara polis dan bekas anggota siri pertama Komando 69 (VAT 69) dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya tak sanggup tengok', adik rayu henti sebar aib abang terperosok bawah lori di RTB Bukit Changgang

BACA LAGI: [VIDEO] Sempat selamatkan isteri dan anak, lelaki Mexico terkorban tragedi belon udara panas terbakar

Meskipun sudah berusia, Yak masih kelihatan bertenaga dan dikatakan kerap berjalan kaki dalam jarak jauh. 

Beliau juga dikatakan pernah terlibat dengan operasi bahaya di era komunis dan kerap menyertai misi tempur. 

Susulan video itu, Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan telah mengadakan satu perjumpaan santai bersama Yak.

Pertemuan itu berlangsung di sebuah kedai makan di Kampung Rhu Muda, Marang, sambil diiringi oleh beberapa lagi pegawai polis mewakili warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Marang.

Perjumpaan itu diadakan untuk menyantuni bekas warga PDRM di samping menyampaikan sumbangan kebajikan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral.

Meskipun begitu, rata-rata warganet yang menonton video tersebut berharap agar Yak dianugerahkan pangkat atau pingat bagi mengenang jasa dan sumbangannya terhadap negara.

"Beliau tinggal di sebuah rumah yang disewa di Marang. Harapan saya selaku orang awam, semoga wira negara ini diberi sebuah rumah untuk beliau," saran Ayh Mat Marang.

"Himpun pesara-pesara seperti ini yang keseorangan dan kesepian di satu tempat.

"Negara berikan bakti kepada mereka sebagai suatu penghargaan atas jasa mereka," cadang Mohamadzaki Bakar.

"Beliau ini sepatutnya dapat pangkat sesuai," komen Leez Gajet. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram