
PELAWAK dan usahawan terkenal, Amir Mohammad Amirullah Azmi atau lebih dikenali sebagai Amir Raja Lawak tampil mempertahankan rakan seperjuangan, Shuk Sahar yang sebelum ini terpalit dengan kontroversi rumah tangganya.
Menerusi hantaran dimuat naik Amir di Facebooknya, meskipun terdapat pelbagai isu terkait rakannya itu, Shuk masih dilihat sebagai seorang selebriti yang dihormatinya.
Amir juga sempat memuji bakat dan kemampuan Shuk terutama ketika membuat persembahan lawak secara spontan di khalayak ramai.
Bukan sekadar itu, Shuk juga disifatkan sebagai antara pelawak dan anak seni yang tidak terlalu stereotaip.
"Untuk artis lawak yang spontan, saya lebih meminati Shuk sebab otak dia memang laju dan pelbagai, tidak stereotaip.
"Kalau korang ingat dalam Super Spontan (program hiburan televisyen) dahulu saya pernah tanya Altimet pakai pencuci muka apa. Itu soalan saya mintak daripada Shuk.
"Dan jika nak disebutkan tentang kisah Shuk pulak, kita semua ini ada kisah masing-masing, cuma ALLAH tutup aib kita sahaja.
"Lagi pun dalam kita tak sedar, diri kita ini cuma baik dari sudut penceritaan kita, dari sudut mulut orang lain kita tetap tidak baik," tulisnya.
Melihat perniagaan Shuk sehingga ke Singapura, Amir juga memasang impian untuk turut bersama-sama mengenalkan produknya ke peringkat antarabangsa.
"Alhamdulillah Shuk sekarang sibuk buat berniaga di Singapura.
"Nanti nak fikir produk apa yang boleh di bawa ke sana, boleh join Shuk berniaga," katanya.
Cadangnya, produk air jagung dengan trademark Air Jagung Amirreka yang sesuai dengan identitinya itu mungkin boleh dibawa ke Singapura.
Dalam pada itu, Amir kini sibuk menguruskan restoran ayam gorengnya, AP Fried Chicken di medan selera stadium Kota Bharu, Kelantan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram