
SEORANG wanita berkongsi pengalaman getir apabila barangan peribadinya dicuri oleh individu tidak dikenali di ruang parkir sebuah restoran dekat Kampung Baru Sungai Buloh di Sungai Buloh, Selangor.
Kejadian yang berlaku pada Isnin dikatakan berpunca akibat kecuaian mangsa yang meletakkan beg berisi laptop dan iPad itu di bawah kerusi bahagian hadapan kenderaan.
Mendakwa beg tersebut telah disorokkan dalam keadaan selamat dan terlindung daripada sebarang bahaya, mangsa bagaimanapun memaklumkan, pelaku masih berupaya mengesan peranti elektronik itu.
BACA LAGI: Kerap kongsi momen bersama anak, Fedtri Yahya tersentuh terima luahan jiwa insan kurang sayang ayah
Dikongsikan menerusi akaun @princesspac1122, tingkap bahagian hadapan keretanya dipecahkan oleh pelaku dan beg hitam berisi peranti berkenaan turut dilarikan ketika kejadian.
Berpesan kepada orang ramai tentang bahaya meninggalkan beg khususnya barang elektronik dalam kereta, perkara itu boleh mengundang kes kecurian yang menjejaskan keselamatan ramai.
"Pernah tak anda meletakkan beg bawah kerusi kereta ataupun di ruang but yang anda rasa pencuri tak boleh nampak dari pandangan luar.
"Ya, itu apa yang saya lakukan dan ia sebenarnya tak selamat, kereta saya kena pecah tingkap, kami letakkan kereta di kawasan parkir terbuka, beg di lantai, tingkap ditutup sepenuhnya.
"Tapi pencuri masih berjaya untuk pecahkan tingkap dan curi segalanya termasuk beg, laptop, iPad dan beberapa lagi peranti lain, semuanya hilang," katanya.
Mendakwa pelaku mempunyai sejenis peralatan canggih yang boleh mengesan kewujudan peranti dalam kereta, wanita terbabit menasihatkan orang ramai lebih berwaspada dalam hal itu.
Tular di laman sosial, rata-rata warga maya sebulat suara untuk tidak meninggalkan sebarang peranti mahupun barangan peribadi yang boleh mengundang kes kecurian.
"Jangan sesekali tinggalkan laptop atau telefon pintar dalam kereta, pencuri ada alat yang boleh scan semua barang itu," kata Shaneem.
"Sorok la macam mana sekali pun, pencuri pun ada alat canggih boleh pecah kereta yang ada alat elektronik semua, bahaya walaupun parkir ruang terbuka," ujar Rivan.
"Cermin kereta gelap pun masih bahaya, sekejap je pencuri boleh buat kerja, hilang laptop semua dia curi," tambah Izaini.
Mangsa difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan belum ada kenyataan polis berhubung kes kecurian tersebut setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram