Potensi di sebalik kontroversi pada usia lebih 60 tahun, pusat riadah Kolam PJ terus 'survive' di Petaling Jaya


  • Bizz
  • Sabtu, 12 Apr 2025

Pengunjung mencuba gelanggang pickleball yang baru diwujudkan di Pusat Sukan PJ di Lorong Sultan, Petaling Jaya.

KETIKA zaman kemuncaknya, Kelab Syabas di Lorong Sultan, Petaling Jaya, Selangor pernah menjadi tempat tumpuan pelbagai acara yang mana penggemar sukan renang dan aktiviti keluarga berkumpul di kolam renang di bawah premis tersebut.

Tidak cukup dengan itu, orang ramai turut berpusu-pusu berkunjung ke restoran dan tempat hiburan yang berada di sekitar pusat sukan berkenaan.

Selepas melalui penjenamaan semula pada 2011 kepada PJ Palms Sports Centre, ia terus menarik minat ramai orang dengan penganjuran aktiviti seperti seperti sekolah renang dan menyelam.

BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah

BACA LAGIStatus agama dipersoal lepas peluk Islam, ketekalan Mohd. Chan terbalas perniagaan rangkaian restoran terus berkembang cecah 2 dekad

Bagaimanapun, selepas operasi selama bertahun-tahun, pusat itu mengalami kemerosotan imej dengan tahap kemudahannya yang mula kelihatan uzur disebabkan penyelenggaraan lemah dan isu-isu lain.

Kini, di bawah pengurusan baharu, pusat sukan itu sedang menjalani satu lagi pengubahsuaian yang membawa bukan sahaja potensi tetapi juga kontroversi.

Permulaan

Di awal kewujudannya, pusat sukan tersebut mula beroperasi pada 1963 sebagai kolam awam yang dikenali sebagai Kolam PJ.

Pada 1990, ia dibeli oleh sebuah syarikat swasta dan dinamakan semula sebagai Kelab Syabas.

Pihak pengurusan kelab turut memajakkan beberapa lot di sekitar kawasan kolam kepada pengusaha pusat hiburan.

Antaranya ialah DV8, yang dibuka pada 1989 dan menjadi tempat melepak popular untuk golongan muda pada 1990-an, sebelum ditutup pada 2005.

Pada 2011, Kelab Syabas mengalami pertukaran pengurusan apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memajakkannya kepada Sepang Mekar Sdn Bhd.

Icon from a bygone era: Kelab Syabas will soon be turned into PJ Palms Sports Centre, set to be one of PJ's latest attractions but the agreement signed between MBPJ and the company carrying out the renovations has been requested by a councillor to be made public.

Kelab Syabas akan melalui proses pertukaran nama kepada PJ Palms Sports Centre dalam masa terdekat. 

Ruang itu dijenamakan semula sebagai Pusat Sukan PJ Palms, lengkap dengan kolam renang 50 meter dengan lapan lorong bagi bertujuan menonjolkan imej tempat sukan ala resort.

Kolam renang milik MBPJ itu masih beroperasi sehingga hari ini.

Sepang Mekar menyewakan ruang di premis terbabit bagi kemudahan sekolah renang, pusat menyelam, salun rambut, kedai dan restoran, termasuk Restoran Out of Africa dan Kudu Bar, yang sudah beroperasi di situ sejak 1995.

Bagaimanapun, kontrak bersama Sepang Mekar berakhir tahun lalu, menyebabkan MBPJ memulakan proses tender untuk melantik kontraktor utama baharu.

Kontrak itu diberikan kepada Kumpulan TDS Sdn Bhd, yang kini mengendalikan Pusat Sukan PJ.

Fasa baharu pembaharuan

Menurut jurucakap jabatan Penilaian dan Pengurusan Aset MBPJ, Sepang Mekar ditawarkan peluang untuk memperbaharui kontraknya tetapi membuat keputusan bagi tidak meneruskannya penawaran harga lebih tinggi untuk pajakan baharu tersebut 

Kunjungan StarMetro baru-baru ini ke Pusat Sukan PJ menyaksikan premis terbabit kini berada dalam fasa peralihan.

Pusat terbabit jauh lebih senyap, dengan sedikit pengunjung dilihat hadir kerana ramai bekas penyewa berpindah kerana bayaran sewa yang semakin meningkat.

Ketika ditemui, pengurus hartanah Kumpulan TDS, Vijayndran Muniandy berkata, syarikat itu mengambil alih sebagai pengendali baharu kelab sukan pada September tahun lepas.

“Kami pada mulanya menawarkan penyewa sedia ada tiga bulan untuk meneruskan perniagaan mereka pada kadar sewa lama.

“Selepas tempoh penangguhan, kami menyemak harga dan membuat tawaran susulan dengan surat undang-undang mengenai kenaikan sewa.

"Sesetengah penyewa menerima syarat baharu, manakala yang lain tidak dan berpindah," katanya.

Harga yang terlalu tinggi

Antara penyewa yang tidak dapat menerima kenaikan itu ialah pengasas Swimin12 Yeap Eu Juan, 40, juga bekas pengurus besar PJ Palms.

Swimin12 telah berada di PJ Palms selama 10 tahun.

Eu Juan berkata, penyewa yang mengalami lebih daripada 100 peratus kenaikan sewa memilih untuk tidak lagi meneruskan operasi di pusat sukan tersebut. 

Eu Juan berkata, tahun lalu, notis tender MBPJ untuk PJ Palms meminta sekurang-kurangnya RM40,000 untuk pajakan, hampir tiga kali ganda daripada bayaran dikenakan ketika di bawah pengurusan Sepang Mekar.

“Kami tahu Sepang Mekar tidak terus beroperasi. Walaupun jaminan daripada Timbalan Datuk Bandar bahawa penyewa akan selamat, sebahagian daripada kami menerima surat sah daripada pemilik baharu menuntut kenaikan sewa sebanyak 300 peratus,” katanya.

Beliau berkata penyewa yang mempunyai peningkatan sewa kurang daripada 30 peratus menerima tawaran baharu itu, manakala selebihnya yang menanggung kenaikan lebih 100 peratus memilih untuk keluar.

Susulan daripada itu, penyewa sekolah renang baharu – Long Adventure Outdoor Sport – memasuki premis di bawah Kumpulan TDS untuk menguruskan kolam di premis berkenaan.

Eu Juan diberitahu bahawa jika Swimin12 ingin bekerjasama dengan Long Adventure, mereka perlu perlu membayar bayaran bulanan tinggi selain membayar penyelenggaraan kolam.

“Kami tidak dapat terus menguruskan kolam dalam keadaan sebegini, jadi, kami memindahkan operasi ke Kolam Renang Universiti Malaya, dengan kerjasama Nadim Swim School.

"Kami berada dalam perniagaan mewujudkan kolam komuniti yang berkembang maju - kami membenarkan pekerja bebas untuk mengajar, menjadi usahawan, menyokong komuniti pekak dan mereka yang berkeperluan khas serta melahirkan perenang kebangsaan," tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Swimin12, Darshini Balakrishnan, 38, berkata, ketika sekolah renang terbabit mula ditubuhkan di PJ Palms, visinya adalah untuk membina hab komuniti dan keluarga.

"Kami mempunyai 63 pekerja sambilan yang datang untuk melatih pada hujung minggu, dan kolam dibuka seawal pukul 4 pagi hingga 11 malam," katanya.

Bagaimanapun, tambah Darshini, perjanjian di bawah pengurusan baharu itu mengehadkan keupayaan kerja mereka.

“Membina kolam komuniti bukanlah mudah; ia melibatkan pertumbuhan ekosistem dan menyokong pelbagai komuniti. Tetapi ia memerlukan masa, usaha, perhubungan, dan semangat untuk berjaya,” katanya.

Melanie Hwa, yang mengendalikan pusat menyelam Flow Dive sejak 2019, juga memilih untuk berpindah, dengan alasan peningkatan sewa dan kos operasi menyebabkan perniagaannya tidak dapat dilaksanakan.

“Sepang Mekar sebenarnya membantu kami melalui tempoh Covid-19,” katanya.

Dia menyatakan garis panduan operasi baharu menetapkan kadar agak mahal pada tempoh terhad menyebabkan situasi tidak masuk akal untuk perniagaannya.

Meneruskan peningkatan

Vijayndran memberitahu StarMetro bahawa Kumpulan TDS sedang mencari input awam tentang perkara perlu dilakukan dengan ruang pernah diisi oleh salah satu pusat hiburan di premis berkenaan. 

“Kami pastinya tidak mahu pusat hiburan lain di premis itu mbagi engelak pengunjung yang mabuk dan pergaduhan tercetus pada waktu pagi.

"Kami masih boleh mempertimbangkan muzik secara langsung di kafe atau bistro untuk ruang ini," katanya sambil menambah restoran nasi kandar atau jenama makanan segera lain di ruang itu, yang pernah diisi A&W, juga sedang dipertimbangkan.

Eu Juan (berdiri) ketika sedang memberikan latihan untuk kursus pensijilan renang di Pusat Sukan PJ Palms. Sekolah kendaliannya membuat keputusan berpindah kerana sewa yang lebih tinggi berikutan perubahan dalam pengurusan.

Tambahnya, keutamaan untuk kolam renang terbabit tetap tertumpu bagi kegunaan orang ramai.

"Kami mungkin menutup tiga lorong untuk aktiviti latihan tetapi tidak akan sekali-kali menutup keseluruhan kolam," katanya sambil menambah bahawa tiga staf penyelamat bekerja mengikut syif untuk memastikan keselamatan di kolam.

Vijayndran berkata, syarikat itu mempunyai rancangan untuk menaik taraf dan membaiki tangki air yang bocor, serta sistem paip, termasuk menukar pam kolam renang dan kemudahan bantuan.

Terdapat juga rancangan untuk membina surau untuk lelaki dan wanita.

"Transformasi ini mengambil masa dan kerja masih berjalan, tetapi kami mengalu-alukan input daripada orang ramai," jelasnya.

Pusat baharu itu kini turut mempunyai gelanggang pickleball dan terdapat juga rancangan untuk memasukkan gelanggang bola padel.

Vijayndran memberi jaminan bahawa rancangan telah disediakan untuk menaik taraf kemudahan bilik mandian air pancuran dan bilik persalinan yang usang.

Satu aspek menjadi kebimbangan di pusat tersebut adalah bahawa ia hanya mempunyai satu pintu masuk dan keluar.

Penyewa mengatakan ini menimbulkan bahaya kebakaran.

Bagaimanapun, Vijayndran berkata, kejadian kecurian yang pernah berlaku sebelum ini membuatkan pihak pengurusan tidak berhasrat membuka pintu keluar lain.

Beliau juga berkata, syarikat itu sedang giat mencari penyewa dan rakan usaha sama baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram