Bukan hanya di sekolah, awasi 5 objek harian berisiko jadi punca penyebaran HFMD


  • Sihat
  • Selasa, 06 Mei 2025

HFMD boleh menyebabkan lepuh dan ulser di mulut, tangan dan kaki, demam serta hilang selera makan. 

PENINGKATAN ketara kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sejak beberapa minggu lalu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa di seluruh negara, khususnya mereka yang mempunyai anak kecil masih bersekolah di tadika atau taska.

Tinjauan di media sosial juga mendapati semakin ramai ibu bapa menyuarakan rasa gusar terhadap kadar penularan HFMD yang pantas, sehingga menyebabkan beberapa pusat jagaan terpaksa ditutup sementara bagi kerja-kerja sanitasi dan pemantauan kesihatan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi portal rasmi miliknya memaklumkan, penyakit HFMD disebabkan oleh virus yang dikenali sebagai enterovirus meliputi Coxsackie Virus A16 (Cox A16) dan Enterovirus 71 (EV 71). 

BACA LAGI: Kes jangkitan HFMD di Johor meningkat

BACA LAGI: Kes HFMD meningkat di Pulau Pinang, 1,484 kes libatkan kanak-kanak bawah 6 tahun

Penularan virus HFMD adalah melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh (blister), najis kanak-kanak yang dijangkiti dan sentuhan pada permukaan serta alatan permainan yang tercemar dengan virus HFMD. 

"Mereka yang dijangkiti akan menunjukkan satu atau lebih tanda seperti demam, luka (ulcer) di mulut, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki. 

"HFMD selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan sembuh dengan sendiri. Namun begitu, segelintir HFMD yang disebabkan oleh jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi seperti radang otak dan jantung," maklumnya.

Beberapa objek harian juga boleh menjadi punca penyebaran virus itu secara senyap. — Facebook/PHM

Virus yang menyebabkan HFMD boleh hidup di permukaan objek selama beberapa jam, menjadikan kebersihan sebagai faktor utama dalam pencegahan.

Dalam pada itu, Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Facebook menyatakan, ramai tidak sedar beberapa objek harian juga boleh menjadi punca penyebaran virus itu secara senyap.

Berikut lima objek harian tidak disangka yang berisiko menyebabkan penyebaran HFMD:

1. Mainan di taska atau tadika

Mainan yang dikongsi oleh ramai kanak-kanak jarang disanitasi secara menyeluruh. 

Virus boleh kekal hidup di permukaan plastik sehingga 24 jam, menjadikannya salah satu medium penyebaran utama di pusat jagaan kanak-kanak.

2. Troli pasar raya

Bahagian tempat duduk kanak-kanak pada troli sering tercemar dengan sisa makanan, air liur atau hingus. 

Namun, ramai ibu bapa tidak membasuh atau mengelapnya sebelum digunakan.

Asian little child girl sitting in the trolley during family shopping in the market.

Bahagian tempat duduk kanak-kanak pada troli sering tercemar dengan kuman.

3. Meja makan di restoran

Kanak-kanak kecil kerap makan terus dari permukaan meja. Jika meja tidak dibersihkan dengan betul selepas digunakan oleh pelanggan sebelumnya, anak-anak mungkin menyentuh virus sebelum memasukkan tangan ke dalam mulut.

4. Alat kawalan jauh dan permainan di inap desa

Penginapan seperti hotel dan inap desa yang tidak disanitasi dengan teliti boleh menyimpan virus di permukaan alat permainan dan alat kawalan jauh.

Ramai yang sentuh, tapi siapa yang cuci? Anak anda mungkin jadi mangsa seterusnya.

5. Tombol tandas awam dan suis lampu

Tombol pintu tandas dan suis lampu di tempat awam juga menjadi tempat berisiko tinggi. 

Kanak-kanak yang menyentuh permukaan tersebut tanpa membasuh tangan boleh membawa virus pulang ke rumah.

HFMD bukan gurauan, virus itu boleh menyebabkan lepuh dan ulser di mulut, tangan dan kaki, demam serta hilang selera makan. 

Justeru ibu bapa dinasihatkan supaya kerap mencuci tangan anak dengan sabun, menyediakan tisu antibakteria untuk lap permukaan di tempat awam.

"Ibu bapa juga perlu mengelak membawa anak kecil ke tempat sesak jika tidak sihat. Selain itu pantau tanda-tanda awal HFMD dan segera dapatkan rawatan jika perlu.

“Tak semua virus dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi kita boleh mencegahnya dengan langkah yang mudah dan konsisten,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram