Pemandu lori direman, 5 anggota FRU terlibat nahas masih kritikal


  • Primer
  • Rabu, 14 Mei 2025

Empat daripada mereka yang cedera masih dirawat di ICU Hospital Teluk Intan manakala seorang lagi di wad ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh. — APM Hilir Perak

LIMA anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang cedera dalam kemalangan di Teluk Intan, Perak pada Selasa masih berada dalam keadaan kritikal, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, A. Sivanesan.

Beliau berkata, empat daripadanya masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Teluk Intan manakala seorang di wad ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Sivanesan menambah, tiga lagi anggota terlibat telah dipindahkan ke wad biasa.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

“Kelima-lima mereka masih dalam keadaan kritikal.

“Tiga (yang lain) sudah keluar dari keadaan kritikal dan telah dipindahkan ke wad biasa,” katanya pada sidang media selepas memberi penghormatan kepada keluarga Mendiang Sarjan S. Perumal di Lahat, Ipoh pada Rabu.

“Mereka masing-masing sedang dirawat di hospital.Kita semua berdoa agar mereka sihat.

"Seorang telah keluar dan dibenarkan pulang," tambahnya.

Perumal, 44, adalah salah seorang daripada sembilan anggota FRU yang maut dalam kemalangan pada pukul 8.50 pagi itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perak, A. Sivanesan.

Mereka dalam perjalanan pulang ke pangkalan FRU Unit 5 di Sungai Senam, Ipoh selepas menyelesaikan tugasan di Teluk Intan sebelum kenderaan yang mereka naiki dirempuh sebuah lori sarat batu kerikil.

Lapan maut di tempat kejadian, dan seorang meninggal dunia akibat kecederaan dialami ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Sivanesan berkata, kerajaan negeri juga akan membincangkan cara membantu keluarga mangsa terutama anak-anak.

“Kami bersimpati dengan keluarga mangsa.

"Kami tidak akan membiarkan mereka dan akan berbincang untuk melihat apa yang boleh kami lakukan untuk keluarga mangsa, seperti kami lakukan (untuk keluarga mangsa) dalam nahas helikopter (Tentera Laut Diraja Malaysia) tahun lepas," katanya sambil menambah Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, yang kini berada di luar negara, telah dimaklumkan mengenai tragedi itu.

Dalam pada itu, pemandu lori terlibat dalam kemalangan itu dilapor direman empat hari bermula Rabu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 45 tahun itu dikeluarkan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Pemandu itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau berbahaya.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan tidak lebih sepuluh tahun serta denda sehingga RM50,000, dan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun. — The Star/IVAN LOH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram