
SYARIKAT pemilik lori terlibat kemalangan mengorbankan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) pada Selasa disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, siasatan sedang dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan, Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikutan gesaan orang ramai supaya syarikat itu bertanggungjawab.
Pada masa sama, Ahmad Zahid, yang mempengerusikan jawatankuasa Kabinet mengenai keselamatan jalan raya dan kesesakan berkata, undang-undang semasa adalah mencukupi untuk memastikan syarikat bertanggungjawab atas kemalangan yang disebabkan oleh kenderaan mereka.
BACA LAGI: Pemandu lori direman, 5 anggota FRU terlibat nahas masih kritikal
“Pemandu terbabit direman empat hari sebagai sebahagian daripada siasatan polis dan JPJ.
"Tetapi bagi pemilik lori, siasatan akan dijalankan oleh Puspakom di bawah Akta Pengangkutan Jalan," kata Ahmad Zahid kepada pemberita pada Khamis selepas menghadiri majlis memperingati pegawai berprestasi tinggi dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar
"Undang-undang semasa sudah cukup untuk menyiasat pemilik dan syarikat. Cuma undang-undang ini mesti dikuatkuasakan dengan lebih baik," katanya ketika ditanya sama ada undang-undang perlu dipinda untuk memastikan syarikat bertanggungjawab atas kemalangan tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pada Selasa, sebuah lori yang mengangkut batu kerikil merempuh kenderaan membawa 18 anggota FRU yang dalam perjalanan dari Teluk Intan menuju ke Ipoh.
Nahas itu mengorbankan sembilan anggota manakala mangsa lain parah.
Terdahulu pada Selasa, Ahmad Zahid berkata siasatan awal mendapati kegagalan yang berlaku terhadap sistem stereng lori terbabit menyebabkan ia melanggar kenderaan polis.
Pemandu lori itu telah direman selama empat hari sebagai sebahagian daripada siasatan polis.
Susulan kemalangan itu, orang ramai dan pakar pengangkutan jalan raya menggesa undang-undang yang lebih ketat untuk meminta pemilik lori bertanggungjawab sekiranya kenderaan mereka yang rosak menyebabkan kemalangan. — The Star/SHERIDAN MAHAVERA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram