
SEORANG lagi anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang cedera dalam tragedi kemalangan pada Selasa dibenarkan keluar dari Hospital Teluk Intan, Perak pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, anggota FRU terbabit, Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi dibawa pulang ke Arau, Perlis, dengan ambulans pada pukul 9.30 malam.
“Ibu pejabat polis daerah (IPD) Hilir Perak dengan kerjasama Medifa Care Teluk Intan menguruskan penginapan untuk keluarga dan menyediakan pengangkutan ambulans.
"Mangsa yang masih tidak boleh berada dalam keadaan duduk dibawa ke rumahnya di Arau, Perlis," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
BACA LAGI: Pemandu lori direman, 5 anggota FRU terlibat nahas masih kritikal
Muhammad Aniq (kiri) dibawa pulang ke Arau, Perlis, dengan ambulans pada pukul 9.30 malam Rabu. — Facebook/Medifa Care Ambulance Service
Ketika ini, tujuh mangsa sedang menerima rawatan di dua hospital, iaitu enam di Hospital Teluk Intan dan seorang di Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Pada Rabu, Bakri dilaporkan berkata, tiga anggota FRU yang terlibat dalam kemalangan itu masih dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri, manakala empat lagi termasuk Muhammad Aniq telah sedarkan diri dan terus menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Seorang anggota yang cedera dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Dalam kejadian pukul 8.50 pagi Selasa, sembilan anggota FRU Unit 5 di Sungai Senam, Ipoh, maut apabila lori yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori membawa batu kerikil.
Lapan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan ketika menerima rawatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram