'Tragedi yang paling menyakitkan', anak Kapten MH17 tuntut keadilan


  • Massa
  • Khamis, 15 Mei 2025

Penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia ketika terbang di ruang udara timur Ukraine, di mana tentera Ukraine sedang bertempur dengan puak pemisah pro-Rusia. — Agensi

ANAK kepada Kapten pesawat MH17, Wan Amran Wan Hussin, tampil menyuarakan kekecewaan dan tuntutan keadilan susulan keputusan badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengesahkan Rusia bertanggungjawab atas tragedi udara yang meragut 298 nyawa hampir sedekad lalu.

Wan Yusuf Irfan Wan Amran, yang ketika kejadian baru berusia sembilan tahun, menyifatkan tarikh hitam itu sebagai hari paling menyakitkan dalam hidupnya apabila kehilangan bapa tercinta dalam insiden yang disifatkannya sebagai 'tindakan tidak masuk akal' dan 'keganasan yang memusnahkan banyak keluarga.'

"Lebih sedekad telah berlalu, namun tiada satu hari pun berlalu tanpa memikirkan tentang ayah," kata Wan Yusuf Irfan tentang bapanya, sehari selepas Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab atas tragedi udara tersebut.

BACA LAGI : Ada nilai sentimental, datuk 80 tahun galas beg cucu, mangsa nahas MH17

BACA LAGI : Keputusan mahkamah penanda aras penting tegak keadilan buat mangsa MH17 — PM

Bercerita lanjut, Wan Yusuf Irfan berkata sifat penyayang, disiplin serta kekuatan dalaman ayahnya amat dirindui, dan kehilangannya kekal sebagai luka yang sukar sembuh bagi dirinya dan keluarga.

"Gelak tawanya, disiplinnya, dan kekuatan tenangnya amat saya rindui," katanya penuh emosi.

Wan Yusuf Irfan (tengah) bersama dua orang adiknya. 

Pesawat MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara milik Rusia ketika terbang di ruang udara timur Ukraine, kawasan yang ketika itu bergolak akibat pertempuran antara tentera Ukraine dan puak pemisah pro-Rusia.

Menurut Wan Yusuf Irfan, keputusan ICAO itu seharusnya menjadi titik tolak kepada kerajaan Malaysia untuk bertindak dengan lebih tegas dan berperikemanusiaan dalam memperjuangkan keadilan buat semua mangsa dan keluarga mereka.

"MH17 bukan sekadar sebuah pesawat; ia adalah pembawa bendera negara kita, membawa rakyat kita di bawah panji kita.

"Penemuan ICAO dan siasatan antarabangsa telah menunjukkan dengan jelas yang Rusia bertanggungjawab terhadap tragedi itu.

"Namun begitu, pihak berkuasa masih gagal bertindak dengan ketegasan dan belas kasihan seperti yang diharapkan dalam menghadapi salah satu tragedi penerbangan paling buruk dalam sejarah,” katanya.

Wan Yusuf Irfan, yang kini mengikut jejak langkah bapanya dalam bidang penerbangan, berkata, tunjuk ajar bapanya telah 'dirampas' bukan sahaja oleh mereka yang bertanggungjawab dalam serangan itu, tetapi juga oleh sistem yang gagal mempertahankan maruah ayahnya selepas kematiannya.

Katanya,  respon Kementerian Pengangkutan selepas penemuan ICAO adalah 'dingin, bersifat prosedur dan tidak menunjukkan sebarang bentuk belas kasihan manusia yang asas'.

"Kami, waris terdekat, dilayan seolah-olah kami hanya nota kaki dalam satu bab yang telah lama dilupakan.

"Tiada pengiktirafan yang signifikan, tiada laluan yang jelas ke arah keadilan, dan pastinya tiada pampasan bermakna yang mencerminkan skala dan beratnya kekejaman antarabangsa ini.

"Pampasan sepatutnya dibayar bukan sekadar sebagai kewajipan kewangan, tetapi sebagai tanggungjawab negara dan simbol maruah," katanya, sambil menambah bahawa keluarga mangsa tidak sepatutnya dibiarkan mengejar apa yang sepatutnya menjadi hak mereka.

Tragedi hitam MH17 meragut meragut 298 nyawa sekelip mata selepas pesawat  dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia. — Agensi

Pada Selasa, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya akan mengeluarkan kenyataan berhubung penemuan ICAO itu.

Penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia ketika terbang di ruang udara timur Ukraine, di mana tentera Ukraine sedang bertempur dengan puak pemisah pro-Rusia.

Wan Yusuf Irfan turut mengingatkan bahawa arwah bapanya bukan sekadar seorang juruterbang, tetapi juga seorang anak watan yang membawa panji negara ke udara.

"Kapten Wan Amran berkhidmat kepada Malaysia dengan penuh bangga. Beliau bukan sekadar seorang juruterbang. Beliau adalah anak watan negara ini, dan arwah meninggal dunia ketika membawa panji negara kita di langit.

"Adalah amat menyedihkan apabila mengetahui bahawa jasa dan pengorbanannya tidak dihargai serta tidak dilindungi sebagaimana sepatutnya," ujarnya sayu. 

Dalam rayuan penuh emosi,  Wan Yusuf menyeru kerajaan agar mengiktiraf tanggungjawab moral dan emosi terhadap mangsa serta keluarga mereka.

"Kami tidak meminta simpati. Kami meminta keadilan. Kami meminta ingatan. Kami meminta belas kasihan. Kami meminta agar dilihat dan diiktiraf," tambahnya.— The Star/ALLISON LAI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp