
SEORANG lelaki tempatan berusia 35 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau maut ditembak dalam satu insiden berbalas tembakan dengan polis di Lintang Bukit Jambul dekat Bayan Lepas, Pulau Pinang awal pagi Khamis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Komisioner Datuk Hamzah Ahmad berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai 19 rekod kesalahan jenayah dan 15 kes berkaitan dadah.
"Kejadian berlaku sekitar pukul 4.15 pagi Khamis semasa sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menjalankan satu operasi di kawasan Bukit Jambul, Bayan Lepas.
BACA LAGI : Mengaku dapat 'back up' polis, mamat Rohingya cabar kesabaran penduduk Kemaman
BACA LAGI : Pemandu Navara langgar suami isteri hingga parah dipenjara sebulan, denda RM12,000
"Anggota polis yang menjalankan rondaan mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan, lalu menghampiri kenderaan tersebut dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Hamzah, suspek secara tiba-tiba keluar dari kenderaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis.
"Anggota bertugas membalas tembakan dalam usaha mempertahankan diri. Suspek disahkan maut di lokasi kejadian," ujarnya.
Ketua Polis Pulau Pinang, Komisioner Datuk Hamzah Ahmad
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, polis menemui sepucuk pistol yang mengandungi tiga butir peluru, sebatang besi, rotan, bilah pemotong, serta beberapa paket plastik lutsinar mengandungi bahan dipercayai dadah jenis syabu seberat 22.5 gram.
"Turut ditemui, satu peranti yang dipercayai alat pengacau isyarat (signal jammer), pelbagai jenis pakaian serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pecah rumah," katanya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen atau permit yang sah.
Tambah Hamzah, hasil siasatan lanjut juga membawa kepada penahanan lapan individu lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan suspek, iaitu tujuh lelaki dan seorang wanita.
"Daripada jumlah itu, empat individu mempunyai rekod jenayah lampau.
"Dengan penahanan ini, polis berjaya menyelesaikan 25 kes pecah rumah dan samun termasuk satu kes rompakan di sebuah kedai dobi di Pulau Pinang, yang melibatkan kerugian dan kerosakan dianggarkan berjumlah RM500,000," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram