
SEORANG penjawat awam dari Singapura didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor pada Khamis atas dakwaan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Lebuhraya Linkedua pada Jumaat lepas.
Tertuduh, Muhammad Irsyad Abdul Hameed, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Irsyad didakwa memandu kereta jenis Maserati secara berbahaya di jalan awam sehingga menyebabkan kematian A. Vasanthraj, 32 tahun.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Kesalahan itu didakwa berlaku di Kilometer -0.6 Lebuhraya Linkedua, Johor Bahru, Johor, sekitar pukul 6.40 petang 9 Mei lalu.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Peruntukan itu membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda tidak melebihi RM50,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh, manakala peguam Baharudin Bahrim dan Zarina Ismail Tom mewakili tertuduh.
Dalam mitigasi, pihak pembelaan meminta pemulangan pasportnya, dan merujuk bahawa tertuduh adalah seorang pegawai kerajaan yang mungkin kehilangan pekerjaannya, dan dia akan bekerjasama terhadap siasatan.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 dengan dua penjamin tempatan dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Lesen memandu tertuduh akan digantung sehingga kes selesai.
Perbicaraan seterusnya ditetapkan pada 10 Jun. — The Star/RHEMA SENG
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram