[VIDEO] Pemandu Maserati warga Singapura dikepung lepas jadi punca kemalangan maut di Linkedua


  • 112
  • Sabtu, 10 Mei 2025

Tangkap layar foto memaparkan kereta jenis Maserati berwarna merah (bulatan merah) yang menjadi punca kemalangan di Lebuhraya Link Kedua, Iskandar Puteri pada Jumaat.

SEORANG lelaki maut apabila motosikal ditunggang melanggar besi penghadang jalan yang tercabut selepas dirempuh sebuah kenderaan dari arah bertentangan dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 0.6 Lebuhraya Linkedua, Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS berwarna kuning maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Kumarasan Muniandy berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu sebuah kereta jenis Maserati berwarna merah melanggar pembahagi jalan ketika cuba membuat pusingan U untuk menuju ke Singapura.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

“Akibat pelanggaran itu, besi penghadang jalan terbabit tercabut dan memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh mangsa yang sedang menunggang motosikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, impak pelanggaran mengakibatkan mangsa terpelanting ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Tangkap layar video tular memaparkan kekecohan yang berlaku selepas kemalangan tersebut pada Jumaat.

Tambahnya, alat kotak simpanan motosikal milik mangsa turut tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar dua buah motosikal lain iaitu jenis Yamaha MT-09 dan Yamaha XMAX 250, namun kedua-dua penunggang tidak mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, kejadian itu mencetuskan kekecohan apabila pemandu Maserati yang warga Singapura turut diserang oleh orang awam yang dipercayai memukulnya menggunakan topi keledar.

Video mengenai insiden tersebut turut tular di media sosial.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata.

Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri di talian 07-5101322. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram