
"TANGGUNGLAH dosa kau, sebab kecuaian kau, seorang isteri hilang suami, anak hilang ayah, mak pula hilang anak."
Itu luahan pilu Mohd Sahrizam, adik kepada seorang pengawal keselamatan, Nazri Samsuri yang maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah lori di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang dekat Banting, Selangor pada Rabu.
Dalam hantaran di Facebook, Mohd Sahrizam turut menuntut keadilan agar individu yang bertanggungjawab tidak lepas tangan.
BACA LAGI : Mengaku dapat 'back up' polis, mamat Rohingya cabar kesabaran penduduk Kemaman
“Pastikan dia ini lah yang ada dalam report syarikat lori nanti. Jangan tiba-tiba pemandu lain pula,” katanya.
Nazri Samsuri yang berusia lingkungan 40-an yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di KLIA, maut di lokasi kejadian dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu.
Rakaman video berdurasi satu minit tiga saat memaparkan detik-detik kemalangan turut tular di media sosial dan mencetuskan rasa marah serta simpati dalam kalangan warganet.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, masalah brek dipercayai menjadi punca lori berkenaan merempuh mangsa sehingga maut.
"Siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa sedang berhenti di lampu isyarat merah sebelum dirempuh sebuah lori dari arah belakang.
“Akibat rempuhan, mangsa tercampak dan terperosok ke bawah lori, menyebabkan kematian di tempat kejadian. Pemandu lori berusia 30-an tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, pemandu lori berkenaan hadir membuat laporan polis dan rakaman percakapan telah diambil untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau membahayakan.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Sohairi Manaf di talian 019-9993077 atau 03-31872222, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram