
PADA pertengahan 1980-an, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir membuat keputusan berani membeli sebuah syarikat pengeluar komponen automotif dikenali sebagai Henderson Spring pada harga RM10.
Ketika itu, perusahaan terbabit dimiliki oleh Cycle & Carriage dan UMW dengan Sapura Holdings yang diasaskan Shamsuddin berperanan sebagai pemilik minoriti sedang berdepan masalah ekoran kemelesetan ekonomi pada tahun tersebut.
Tidak cukup dengan itu, Henderson Spring yang merupakan pengeluar komponen gegelung spring turut merekodkan kerugian selama tiga tahun berturut-turut selepas ia diambil alih.
BACA LAGI: Survival tukang jahit, dulu nak dekat raya makin rancak kini suram, bersaing jualan online
BACA LAGI: Wau buatan pemuda Selayang pernah disewa hingga cecah RM25,000, tarik minat pembeli warga Perancis
Namun, situasi itu sama sekali tidak menimbulkan kerisauan buat Shamsuddin yang ketika itu memiliki visi lebih jauh dalam membantu negara yang ketika itu baru sahaja menyaksikan pelancaran projek kereta nasional.
Ini kerana, sebagai antara usahawan perintis khususnya dalam perusahaan pembuatan berat di dalam negara, beliau ketika itu mempunyai rasa tanggungjawab khususnya dalam membangunkan tenaga teknikal yang diperlukan.
Sebelum itu, bersama Sapura Holdings, Shamsuddin terlebih dahulu mencipta nama sebagai pengasas syarikat pembuatan bagi sektor telekomunikasi sejak penubuhannya pada 1975.
Shamsuddin mengasaskan Sapura Holdings pada 1975. — Facebook/Victoria Institution's 125th Anniversary Celebration Page
Nama Sapura diambil sempena nama isteri beliau, Allahyarhamah Siti Sapura Husin sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada sokongan dan pengorbanan isterinya sejak dari awal perjalanan keusahawanan yang penuh cabaran.
“Sebagai anak syarikat milik penuh Kumpulan (Sapura Holdings), syarikat itu (Henderson Spring) mengalami kerugian dalam tempoh tiga tahun seterusnya, tetapi ia agak kecil dan kami dapat menyerapnya.
“Sementara itu, ia membantu kami memperoleh lebih banyak pengiktirafan untuk keupayaan pembuatan kami.
"Kami mula memasarkan secara agresif kepada Proton kerana kami berharap untuk berkembang bersama mereka, dan terus mengeluarkan komponen kenderaan yang sangat teknikal dan menjalankan proses pemesinan dan pengacuan untuk mereka melalui anak syarikat kami Sapura Machining Corporation.
“Ia adalah langkah diversifikasi horizontal, dan apabila kami lebih terlibat dalam industri berasaskan logam, kilang kami berkembang dan syarikat itu ditransformasikan menjadi Sapura Automotive Industries dan kemudian Sapura Industrial,” katanya menerusi buku biografi perjalanan beliau sebagai usahawan pembuatan bumiputera bertajuk A Driver’s Son.
Di bawah terajunya, Sapura Industrial Berhad (SIB) terus berkembang sehingga menjadi peneraju pengeluar komponen automotif di Malaysia sekali gus menjadi tulang belakang kepada pembangunan Malaysia sebagai negara pengeluar kereta.
Pada 1994, SIB turut disenaraikan di Bursa Malaysia dan menandakan permulaan era baharu bagi syarikat berkenaan.
Kini, syarikat terbabit yang sudah mencapai usia genap 40 tahun pada 2025 merupakan antara pembekal utama sistem dan komponen kepada jenama besar automotif di Malaysia seperti Proton, Perodua, Honda, dan Toyota di Malaysia.
Shamsuddin (enam dari kanan) ketika menyambut ulang tahun ke-40 penubuhan SIB.
Tidak hanya sekadar itu, ia juga sedang bergerak melangkaui operasi asasnya dalam bidang pembuatan apabila turut aktif dengan sektor masa hadapan antaranya dalam bidang kejuruteraan ketepatan, automasi, mobiliti elektrik, teknologi Internet-of-Things (IoT) dan penjagaan kesihatan.
Kemampanan perniagaan SIB yang diasaskan Shamsuddin merupakan salah satu contoh kisah kejayaan usahawan bumiputera dalam sektor penting negara yang menjadi tulang belakang kepada kemajuan negara.
Anak seorang drebar
Dilahirkan pada 19 Ogos 1931 di Lembah Kinta, Shamsuddin dibesarkan oleh ayah yang bekerja sebagai seorang drebar sementara ibunya pula ialah suri rumah yang buta huruf namun lancar mengaji al-Quran.
Menerusi autobiografinya, Shamsuddin yang kini berusia 93 tahun menyatakan bahawa di sebalik keadaan keluarganya yang serba kekurangan, ibu bapanya sangat menekankan kepentingan pelajaran kepadanya yang merupakan anak tunggal.
“Ayah saya cuma sekolah sampai Darjah Empat. Tapi beliau mahu saya pergi sejauh yang mungkin dalam pelajaran,” catatnya.
Tekadnya terhadap pendidikan turut boleh dilihat apabila beliau terpaksa masuk semula ke sekolah aliran Inggeris pada usia 17 tahun selepas perang tamat.
Malah ketika usia mencapai 19 tahun, beliau memulakan pembelajaran di Victoria Institution ketika rakan sekelasnya yang lain berumur 12 tahun.
Shamsuddin kemudiannya berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan elektrik di Brighton Technical College di United Kingdom dengan biasiswa Telekom pada usia 24 tahun.
Sepulangnya ke tanah air, beliau terus berkhidmat bersama Jabatan Telekom selama 12 tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti dan berkecimpung dalam sektor swasta.
Langkah berani untuk meninggalkan kedudukannya yang selesa itu diambil meskipun beliau ketika itu begitu hampir untuk dinaikkan pangkat bagi menerajui jabatan berkenaan yang kemudiannya berkembang menjadi Telekom Malaysia Berhad.
Selepas beberapa tahun, beliau kemudiannya mula mengasaskan Sapura Holdings pada 1975 dengan menggunakan kelebihan latar belakang yang dimilikinya dalam bidang kejuruteraan dan telekomunikasi.
Tokoh perintis usahawan ulung bumiputera
SIB kini tampil dengan logo dan identiti baharu sempena ulang tahun ke-40.
Timbalan Pengerusi SIB, Tan Sri Azmil Khalili menyifatkan Shamsuddin sebagai tokoh terulung usahawan bumiputera yang memiliki pencapaian signifikan dalam memacu kemajuan ekonomi negara.
Menurut beliau, ciri ketokohan tersebut dapat disaksikan menerusi keberaniannya dalam merintis sektor teknologi dan pembuatan yang ketika itu masih dianggap baharu dan berisiko.
“Cara beliau memulakan perniagaan daripada modal RM10 dengan membeli Henderson Spring. Kenapa beliau perlu membeli syarikat tersebut?
“Tapi beliau mengambil cabaran untuk membangunkan syarikat tersebut dengan visi sangat jelas daripada sesuatu yang kecil.
“Kemudian sudah tentu beliau turut berperanan melatih pasukan dan organisasi kumpulan pekerja mahir di bawahnya,” kata Azmil kepada Majoriti.
Menurutnya, jika bercakap mengenai perintis usahawan bumiputera terulung generasinya, tentu sekali Shamsuddin berada di dalam lima teratas.
“Kita bercakap mengenai Tun Daim Zainuddin sebagai ahli perniagaan dan ahli politik. Begitu juga dengan Tan Sri Ramli Tajuddin, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah dan Tan Sri Halim Saad.
“Jadi legasi beliau sebagai usahawan bumiputera khususnya bersama SIB sangat kuat,” kongsinya lagi.
Sejak 2013, SIB beroperasi sebagai entiti yang bebas sepenuhnya daripada Kumpulan Sapura yang sudah meluaskan cabang perniagaannya kepada sektor minyak dan gas, hartanah, penerbangan serta pertahanan.
Ia selepas Kumpulan Sapura mengambil keputusan melepaskan pegangannya dalam SIB kepada Shamsuddin dengan SIB kini memberi tumpuan kepada sektor pembuatan.
Sempena ulang tahun ke-40 pada tahun ini, SIB turut melaksanakan penjenamaan semula menerusi pelancaran logo dan identiti baharunya.
Langkah itu dibuat untuk melihat peralihan terhadap sektor pertumbuhan tinggi seperti pembuatan farmaseutikal, penyelesaian mobiliti, penjagaan kesihatan, loT dan ekosistem EV.
SIB merekodkan pendapatan RM295.57 juta pada 2024 dengan nilai modal pasaran semasanya kini adalah RM61.5 juta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram