Masih tunggu respons Arab Saudi, keputusan mohon tambah kuota haji diketahui hujung Mei


  • Primer
  • Selasa, 13 Mei 2025

Untuk musim haji tahun ini, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan kuota rasmi jemaah Malaysia seramai 31,600 orang. — Gambar Hiasan

KEPUTUSAN permohonan Malaysia bagi penambahan 10,000 kuota haji pada musim ini dijangka hanya akan diketahui selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Memetik laporan Buletin TV3, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Malaysia masih menunggu maklum balas rasmi daripada kerajaan Arab Saudi selepas menghantar surat permohonan bagi penambahan kuota haji tahun ini.

"Mengenai kuota haji, kita belum menerima respons daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

BACA LAGI : Menabung RM13 sehari selama 17 tahun, penjaga parkir akhirnya naik haji bersama isteri

BACA LAGI : Tabung Haji umum dividen 3.25 peratus, tertinggi dalam tempoh 7 tahun

"Memang tahun lepas pun, kita terima jawapan itu agak lewat. 

"Mungkin ada pertimbangan, tetapi saya percaya biasanya akan ada penambahan kuota mengikut trend sebelum ini," katanya.

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Peralihan Penstrukturan Pengurusan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) di bawah Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Na’im berkata, keputusan penambahan kuota tersebut juga bergantung kepada polisi baharu yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi.

"Kita tak pasti lagi apa polisi yang akan kerajaan Arab Saudi gunakan pada tahun ini.

“Kalau dia (Arab Saudi) kata ketat, contohnya kalau tak nak jumlah begitu ramai macam musim haji semasa COVID-19 dulu, jadi mungkin tak ada pertambahan.

"Jadi, ia bergantung kepada polisi yang akan diperkenalkan kerajaan Arab Saudi selewat-lewatnya hujung bulan ini atau sebelum haji," katanya.

Untuk musim haji tahun ini, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan kuota rasmi jemaah Malaysia seramai 31,600 orang, dan Malaysia memohon tambahan 10,000 kuota lagi bagi memenuhi permintaan yang tinggi dalam kalangan umat Islam di negara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram