
DUA daripada empat lelaki yang dikhuatiri hilang selepas masuk ke dalam hutan di Tamaco Tungku, Lahad Datu, Sabah sejak Khamis lalu ditemui selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, empat individu yang masuk ke hutan untuk mengutip hasil hutan itu berpecah kepada dua kumpulan.
"Dua orang berjaya keluar dari kawasan hutan itu dengan selamat, manakala dua lagi masih hilang.
"Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersama agensi penyelamat lain termasuk 33 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan tiga orang awam sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua individu yang masih hilang dalam radius satu kilometer dari lokasi terakhir mereka dilihat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
BACA LAGI: Tak pulang rumah sejak Khamis, 4 hilang lepas masuk hutan di Lahad Datu
Beliau bagaimanapun berkata, operasi SAR bagi dua lagi mangsa ditangguhkan pada pukul 4 petang berikutan hujan lebat dan akan disambung semula pagi Selasa.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau mengesahkan dua individu yang masih hilang di dalam hutan itu adalah anggota tentera berusia 37 dan 41 tahun.
Menurutnya, dua individu itu pergi menangkap ikan di Sungai Sri Darun dan kemudian memasuki hutan melalui anak sungai kecil untuk mengutip akar pokok untuk kegunaan perubatan sebelum hilang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram