
SELEPAS menyertai Sidang Kemuncak APEC di ibu negara Peru pada November lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kunjungan singkat ke Rio de Janeiro, yang mana beliau turut menghadiri acara dihoskan ahli perniagaan Malaysia, Lim Han Weng dan anaknya, Lim Chern Yuan.
Majlis itu diadakan untuk meraikan pembukaan pejabat baharu Yinson Production di Brazil, iaitu sebuah sayap perniagaan baharu di bawah Yinson Holdings yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Ketika acara tersebut, Anwar memberikan pujian kepada syarikat itu dengan menjadikannya sebagai contoh menunjukkan komitmen negara terhadap sokongan kepada keperluan tenaga global dengan inovasi dan tanggungjawab.
Selama sedekad lalu, Yinson yang berpangkalan di Kuala Lumpur dengan nilai pasaran AS$1.1 bilion (RM4.82 bilion) - muncul sebagai salah satu pengeluar utama dunia untuk perkhidmatan dikenali sebagai floating production.
Floating production merujuk kepada teknologi kapal yang digunakan dalam industri minyak dan gas untuk mengekstrak, memproses dan menyimpan hidrokarbon dari telaga minyak yang terletak di dasar laut dalam.
Yinson menerima penghantaran Agogo FPSO, kapal terbesarnya, pada Februari. — Yinson Holdings
Antara sistem jenis kapal digunakan adalah menerusi penyimpanan dan pemindahan terapung atau Floating Production Storage and Offloading (FSPO).
Setiap kapal FPSO tersebut dibina dengan kos masing-masing melebihi AS$1 bilion (RM4.45 bilion).
Ketika ini, Yinson mempunyai sembilan kapal berat tersebut yang dikerahkan dengan kontrak jangka panjang, antara 15 hingga 25 tahun, di negara-negara seperti Angola, Ghana, Nigeria dan Vietnam, selain Brazil.
Syarikat itu juga telah mendapat tempat di pasaran Amerika Latin, yang merupakan pasaran FPSO terbesar di dunia, sejak mula meneroka pasaran tersebut pada 2018.
Dengan dua kapal berkontrak bersama syarikat minyak milik kerajaan Petrobras dan satu dengan syarikat tenaga swasta Enauta, Brazil kini menyumbang sebahagian besar — kira-kira 40 peratus daripada pendapatan tahunan mereka yang bernilai RM7.6 bilion pada tahun kewangan berakhir Januari 2025.
"Kita perlu menjadi global," kata Han Weng yang juga pengerusi eksekutif kumpulan Yinson.
"Kita tidak boleh hanya bergantung kepada Malaysia."
Kedudukan Yinson dalam industri FPSO global diukut dengan saiz buku tempahanya.
FPSO Atlanta ialah satu daripada tiga kapal yang ditempatkan di Brazil, pasaran terbesar Yinson. — Yinson Holdings
Mereka kini mempunyai kontrak sewaan bernilai AS$21 bilion (RM93.45 bilion) dan ia akan berlanjutan sehingga 2048.
Ini menjadikan syarikat tersebut sebagai yang ketiga terbesar di dunia yang menyediakan FPSO, selepas syarikat Belanda SBM Offshore dengan kontrak sewaan AS$35 bilion (RM155.75 bilion) dan Modec berpangkalan di Tokyo dengan AS$27 bilion (RM120.15 bilion).
Pada Februari, usahawan bapa dan anak itu berada di Shanghai untuk menghadiri acara menamakan dan pelepasan pelayaran kapal terbesar mereka setakat ini iaitu Agogo FPSO yang bernilai AS$2 bilion (RM8.822 bilion).
Kapal tersebut dinamakan sempena lokasi minyak lepas pantai di Angola, yang mana ia kini dalam perjalanan untuk mula beroperasi.
Dibina di limbungan kapal China, Agogo memiliki kontrak selama 15 tahun kepada Azule Energy Angola, sebuah usaha sama antara BP dan Eni dari Itali.
Dengan kapasiti untuk memproses 120,000 tong minyak sehari, ia dijangka akan menjana pendapatan sebanyak AS$5.3 bilion (RM23.585 bilion) bagi Yinson sepanjang tempoh kontrak.
Syarikat ini memaklunkan bahawa kapal tersebut adalah kapal pertama dalam armada mereka yang menggunakan teknologi hijau yang boleh mengurangkan pelepasan karbon sehingga 27 peratus sepanjang tempoh kontrak, berbanding kapal lama.
Dengan perkembangan tersebut, gandingan bapa dan anak itu telah membina Yinson menjadi sebuah perniagaan yang teratur dan efisien.
Menerusi kontrak FPSO dimiliki, yang mana membolehkan operasi lebih stabil tanpa mengira kadar harga minyak, Yinson Holdings tetap mencatatkan keuntungan walaupun ketika Covid-19 melanda dunia.
Chern Yuan, ketua pegawai eksekutif kumpulan tersebut yang berusia 40 tahun dilihat turut tidak begitu terkesan dengan keadaan arus makroekonomi yang tidak menentu disebabkan perang tarif dilancarkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Han Weng dan Chern Yuan bergambar dengan model skala Agogo FPSO. — Forbes
"Kami akan terus membuat tawaran untuk projek-projek," katanya sambil menambah bahawa asas jangka panjang sudah tertanam dalam model perniagaan mereka.
"Tempoh hayat purata kontrak kami melebihi tempoh pentadbiran kebanyakan ketua negara," katanya.
Yinson menceburi bidang tenaga boleh diperbaharui pada 2020 dan telah membina portfolio lebih daripada 550 megawatt dengan projek di Asia-Pasifik, Eropah, dan Amerika Latin.
Walaupun tenaga boleh diperbaharui menyumbang hanya 2 peratus daripada pendapatan pada 2024 dengan cabang perniagaan itu masih menanggung kerugian, Chern Yuan yakin bahawa ia akan memberikan 'pertumbuhan meninggi' menjelang 2030, di mana beliau merancang agar operasi Yinson bebas karbon.
Permulaan sebagai penjual kereta
Han Weng yang berada di tempat ke-41 dalam kalangan 50 orang terkaya Malaysia dengan kekayaan bernilai AS$480 juta (RM2.12 bilion), merupakan ahli perniagaan yang berjaya dengan hasil usahanya sendiri.
Beliau bermula sebagai penjual kereta selepas tamat sekolah menengah di Pulau Pinang.
Pada 1984, beliau menubuhkan syarikat pengangkutan dan logistik kecil di Johor Bahru bersama isterinya, Bah Lim Kian, yang terus terlibat secara aktif sebagai pengarah eksekutif yang bertanggungjawab atas strategi kumpulan.
Beliau memberikan nama Yinson kepada syarikatnya mengambil inspirasi daripada ibunya Yin, yang dalam bahasa Cina bermaksud 'awan meninggi' bagi menunjukkan cita-citanya terhadap perniagaan terbabit.
Kira-kira 10 tahun kemudian, beliau menceburi bidang logistik marin dengan menyediakan kapal sokongan pantai lepas untuk industri minyak dan gas, bermula dari Afrika, dan mendaftarkan Yinson pada 1996.
Selepas penyertaan Chern Yuan pada 2005 yang baru menamatkan pengajian perakaunan dan kewangan di University of Melbourne, syarikat itu terus meningkatkan rantaian nilai nilai perniagaan mereka.
HI Mobility ialah pengendali bas Causeway Link yang membawa penumpang merentasi sempadan Malaysia-Singapura. — Yinson Holdings
Pada 2011, Yinson menyertai konsortium dipimpin oleh Petrovietnam, yang dianugerahkan kontrak untuk sebuah kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan terapung (FSO).
Langkah itu seterusnya mendorong mereka untuk memperluaskan perkhidmatan lebih kompleks dari kapal-kapal FPSO kepada pelanggan.
"Kami tahu jika kami benar-benar serius tentang (mengembangkan) perniagaan, kami perlu memperoleh beberapa set kebolehan kejuruteraan yang baik," kongsi Chern Yuan.
Peluang itu muncul pada 2013 apabila Fred. Olsen Production dari Norway didagangkan di pasaran untuk dibeli.
Yinson membeli pesaingnya dari Norwegia yang memiliki operasi lebih besar dengan pada nilai RM756.5 juta, iaitu harga melebihi nilai pasaran mereka AS$120 juta (RM534 juta) pada masa itu.
"Kami berusaha di luar kemampuan kami," akui Chern Yuan.
Tetapi pengambilalihan yang menerima dana secara pinjaman itu menjadikan Yinson sebagai operator FPSO sepenuhnya.
Meskipun sudah berusia 73 tahun, Han Weng terus mengendalikan banyak tanggungjawab dalam perniagaan yang diceburinya.
Beliau terus mengendalikan Liannex - syarikat tidak tersenarai - yang beliau mulakan pada 1993 untuk mengangkut komoditi industri seperti besi buruk, bauksit, arang batu dan nikel kepada pelanggan di seluruh Asia Tenggara.
"Saya masih berurusan dengan lombong arang batu di Indonesia kerana anak-anak saya tidak fasih berbahasa (Indonesia)," katanya.
Tahun lalu, Han Weng meningkatkan skala Liannex dengan mengambil alih kepentingan kawalan dalam Icon Offshore iaitu pembekal kapal sokongan pantai lepas, dengan harga RM173 juta dan meletakkan operasi pengangkutan marin di bawah kumpulan Lianson Fleet Group yang baru dinamakan semula.
Anak lelaki bongsunya, Chern Wooi, yang berusia 38 tahun, adalah pengerusi eksekutif syarikat tersebut, yang menguruskan armada pengangkut kargo pukal, kren terapung, tongkang dan hotel terapung.
Selain itu, Han Weng juga mempunyai kepentingan dalam perusahaan HI Mobility, sebuah syarikat bas mengendalikan Causeway Link, yang membawa penumpang merentasi tambak menghubungkan Malaysia dan Singapura, yang dianggap antara sempadan paling sibuk di dunia dengan lebih 300,000 penumpang melalui pusat pemeriksaan imigresen setiap hari.
Syarikat itu, yang mempunyai armada 550 bas, mengumpul RM116 juta daripada proses penyenaraian awam (IPO) pada Mac dan merancang untuk menggunakan dana itu untuk mengembangkan armada basnya.
Dengan rekod operasi selama dua dekad, HI Mobility dijangka mendapat manfaat daripada zon ekonomi khas Johor-Singapura yang dibangunkan secara bersama kedua-dua negara.
"Dasar menyeluruh yang lebih mesra perniagaan di bawah zon ekonomi khas akan mewujudkan permintaan perjalanan baharu dan tambahan," kata Ketua Pegawai Eksekutif HI Mobility, Lim Chern Chuen, 44, yang merupakan anak sulung Han Weng .
Perolehan syarikat meningkat 73 peratus kepada RM208 juta pada 2024 berbanding tahun sebelumnya, dengan hampir separuh daripada Singapura.
Dengan tiga anak lelakinya yang aktif dalam perniagaan keluarga itu, Han Weng kini mampu lebih bertenang tetapi mengakui dia masih belum bersedia untuk bersara.
"Saya melihat lebih banyak peluang, saya perlu bekerja sehingga hari terakhir." kata Han Weng. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram