
PEMILIK kenderaan Nissan Navara yang terlibat kes langgar lari melibatkan motosikal dinaiki pasangan suami isteri di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) Kuala Lumpur pada Sabtu tampil membuat kenyataan status pemandu kenderaan tersebut ketika kejadian.
Menurut lelaki tersebut yang dikenali sebagai Balan, dia tidak memandu trak pikap miliknya itu ketika kejadian, sebaliknya dipandu individu lain.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu video yang turut dimuat naik di media sosial pada Ahad.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Ujarnya, dia juga telah membuat laporan polis susulan tular maklumat peribadi mengenai dirinya sehingga menyebabkannya menerima banyak tohmahan dan gangguan.
"Saya ingin memberitahu bahawa kereta saya telah digunakan orang lain dan dia telah terlibat dalam kemalangan.
"Saya amat kesal dan simpati dengan nasib kedua-dua mangsa yang. Saya ingin memaklumkan sekali lagi bahawa bukan saya yang memandu kereta itu semalam dan pemandu itu juga telah ditahan semalam untuk siasatan serta kereta saya telah pun disita.
"Saya memohon untuk netizen tidak menyebarkan maklumat peribadi saya lagi dan saya sedia bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis," katanya yang turut meminta maaf atas insiden yang berlaku.
Menerusi tangkap layar gambar laporan yang dibuat, kenderaan terbabit dipercayai dipandu oleh adik kepada pemilik kenderaan tersebut.
Dalam kejadian yang berlaku berhampiran Tol Duta pada Sabtu, pasangan suami isteri terbabit parah selepas dirempuh oleh kenderaan dipandu suspek.
Pada masa sama, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur memaklumkan pemandu Nissan Navara yang juga seorang lelaki India berusia 32 tahun tidak mengalami kecederaan dan sudah hadir membuat laporan polis.
"Susulan siasatan, polis telah membuat permohonan reman dan suspek kini ditahan dua hari di Lokap Dang Wangi bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram