
TINDAKAN pantas warga maya berjaya mendedahkan maklumat berkaitan pemilik sebuah kenderaan pacuan empat roda (4X4) jenis Nissan Navara yang terlibat dalam satu insiden langgar lari di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.56 petang itu, sepasang suami isteri dilaporkan cedera parah selepas motosikal berkuasa tinggi yang dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang oleh kenderaan terbabit ketika berada di lorong kiri lebuh raya menuju ke Tol Duta.
Rakaman video kejadian yang sempat dirakam seorang penunggang motosikal lain mula tular di media sosial pada hari sama, mencetuskan kemarahan orang ramai.
BACA LAGI : [VIDEO] Suami isteri parah dirempuh pikap langgar lari di NKVE
BACA LAGI : [VIDEO] Dua beranak parah kemalangan berantai di simpang Bukit Subang, pemandu lori ditahan
Video berdurasi lebih seminit itu memaparkan kenderaan berkenaan terus memecut meninggalkan lokasi kejadian tanpa menghulurkan sebarang bantuan kepada mangsa.
Pada masa sama, turut tular sebuah video memaparkan pengguna jalan raya yang lain sedang mengejar kenderaan 4X4 yang merakam kenderaan tersebut melepasi Tol Duta.
Dalam rakaman itu, kedengaran suara seorang wanita menyebut dengan jelas nombor pendaftaran kereta tersebut.
"Kereta ini langgar orang kemudian lari. Nombor pendaftaran US9***," katanya.
Susulan penyebaran rakaman tersebut, netizen mula melakukan pencarian maklumat secara dalam talian, termasuk meneliti nombor plat kenderaan.
Hasil daripada siasatan komuniti maya itu, pemilik kenderaan dipercayai dikenal pasti sekali gus menyebabkan ramai yang berkongsi data pemandu itu.
"Mana nak lari, semua data ada. Siap ada pelekat kereta 4X4 PDRM lagi," kata Shamsul Syakil yang turut berkongsi data milik pemandu tesebut di ruangan komen.
Tindakan warga maya itu turut menyebabkan individu berkenaan menutup akaun Facebooknya bagi mengelak kecaman awam.
Sementara itu, seorang pengguna media sosial, Sahirah RM menyeru agar orang ramai mendoakan mangsa yang kini sedang mendapatkan rawatan rapi di sebuah hospital.
"Tolong semua doakan Mak su saya dalam video ini yang mangsa langgar lari Navara cepat sembuh beliau di ICU sekarang.
"Rider lelaki Pak Su saya pun cedera parah tangan dan kaki kena bedah," tulisnya.
Setakat ini, pihak polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram