[VIDEO] Suami isteri parah dirempuh pikap langgar lari di NKVE, pemandu Nissan direman 2 hari


  • Tular
  • Ahad, 11 Mei 2025

Tangkap layar sepasang suami isteri dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian langgar lari di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada Sabtu.

SEPASANG suami isteri parah selepas motosikal berkuasa tinggi yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian langgar lari di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira kira-kira pukul 2.56 petang itu, pasangan berkenaan dikatakan sedang menunggang di lorong kiri lebuh raya menghala ke Tol Duta sebelum dirempuh sebuah Nissan Navara berwarna hitam.

Kejadian berkenaan sempat dirakam salah seorang penunggang motosikal lain dan video terbabit tular di media sosial sejak pada hari yang sama.

BACA LAGI: Lapan suspek, 5 kenderaan terbabit dalam penculikan Pamela Ling — Polis KL

BACA LAGI: [VIDEO] Dua beranak parah kemalangan berantai di simpang Bukit Subang, pemandu lori ditahan

 

 

 

Menerusi satu hantaran dimuat naik pengguna Facebook, Aazani A Rashid, mendakwa pasangan itu mengalami kecederaan serius akibat rempuhan langgar lari tersebut.

"Tolong cari info sampai dapat. Nissan Navara hitam nombor pendaftaran US***.

"Pemandu Nissan Navara ni langgar lari motor sahabat kami. Kecederaan serius suami dan isteri. Lokasi NKVE menghala ke Tol Duta. Kejadian Sabtu 10 Mei 2025," tulisnya.

Sementara itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mengesahkan menerima laporan berhubung satu kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan seperti yang tular di laman Facebook menerusi hantaran video akaun "DashCam Malaysia".

JSPT dalam satu kenyataan berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 10 Mei lalu, kira-kira pukul 2.30 petang di Lebuhraya PLUS arah pusat bandar, sebelum Plaza Tol Duta. 

"Laporan polis pertama diterima pada hari sama pukul 6.55 petang Sabtu oleh pemandu pacuan empat roda yang terlibat dalam insiden berkenaan.

"Kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal jenis Benelli TRK 502 dan pacuan empat roda Nissan Navara. 

"Siasatan awal mendapati motosikal terbabit sedang bergerak lurus di lorong kiri sebelum dilanggar dari arah kanan oleh kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai cuba memotong sebuah lagi motosikal," menurut kenyataan tersebut pada Ahad. 

Tambah kenyataan itu lagi, akibat perlanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal terjatuh atas jalan dan mengalami kecederaan. 

"Penunggang, seorang lelaki Melayu berusia 53 tahun, mengalami retak tulang selangka dan luka di buku lali, manakala pembonceng yang juga isterinya, 49, cedera parah dengan pendarahan di kepala, patah buku lali dan tulang rusuk kanan.

"Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk rawatan lanjut.

"Pemandu Nissan Navara, seorang lelaki berusia 32 tahun, tidak mengalami kecederaan dan hadir membuat laporan polis. 

"Susulan siasatan, polis telah membuat permohonan reman dan suspek kini ditahan dua hari di Lokap Dang Wangi bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan," katanya. 

Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Farhad Bin Kamaruddin di talian 011-31903054. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram