
SEBUAH treler membawa muatan 950 tong gas memasak merempuh penghadang besi jambatan landasan kereta api di Jalan Sultan Yahya Petra, di Kuala Krai, Kelantan pada Ahad sehingga menyebabkan kesesakan jalan di lokasi.
Insiden tersebut berlaku pada pukul 3.21 petang Ahad ketika kenderaan berat terbabit yang membawa tong gas kosong melalui laluan yang menghadkan ketinggian 4.1 meter.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, treler berketinggian 4.3 meter itu dalam perjalanan dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu ke Seremban, Negeri Sembilan dan menghala ke pusat bandar sebelum melanggar struktur besi penghadang jambatan berkenaan.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
“Akibat pelanggaran itu, beberapa tong gas jatuh ke jalan raya dan satunya melantun ke arah sebuah kereta dari laluan bertentangan.
“Bagaimanapun, insiden tidak melibatkan sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mazlan berkata, pemandu treler terbabit dikenakan saman mengikut Peraturan 10 LN 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan.
Jika sabit kesalahan, pemandu tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
Dalam pada itu, Mazlan turut menggesa pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) agar mengambil tindakan segera yang wajar terhadap penghadang berkenaan.
Katanya, kejadian berkenaan merupakan insiden kedua membabitkan pelanggaran penghadang di lokasi sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram