Suami antara suspek disiasat berkemungkinan terlibat dalam kes penculikan Pamela Ling — KPN


  • 112
  • Selasa, 06 Mei 2025

Razarudin berkata siasatan polis berhubung penculikan Pamela Ling Yueh (Gambar kecul) kini menjurus kemungkinan suaminya dan beberapa individu lain.

SIASATAN polis berhubung penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh kini menjurus kemungkinan suaminya dan beberapa individu lain terbabit dalam misteri kehilangan wanita itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bagaimanapun berkata, siasatan lanjut masih berjalan dan suami Pamela masih lagi berada dalam negara. 

"Buat masa ini, kemungkinannya ke arah itu (suami) dan mungkin ada beberapa individu lain lagi.

BACA LAGI : Pemandu e-hailing dakwa Pamela Ling dilarikan individu pakai vest polis, diarah tekan butang 'complete job'

BACA LAGI : Misteri 3 kereta culik isteri taikun bisnes Sarawak sebelum sempat beri keterangan SPRM undang tanda tanya

"Siasatan masih belum lengkap dan kita percaya ada orang lain kita ambil sebagai suspek juga," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PDRM 2024 di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Selasa. 

Jelas Razarudin lagi, setakat ini, seramai 16 individu sudah dirakam keterangan termasuk suami mangsa.

"Keterangan suaminya sudah dirakam awal lagi dan kita juga akan merakam keterangan anaknya yang berada di Singapura," katanya.  

Siasatan polis mendapati kenderaan yang digunakan dalam penculikan Pamela dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Sementara itu, siasatan lanjut mendapati kenderaan yang digunakan dalam penculikan Pamela dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

“Hasil semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati semua nombor pendaftaran yang digunakan pada kenderaan terlibat adalah palsu,” katanya.

Menurut beliau, usaha kini giat dijalankan untuk mengesan kesemua kenderaan tersebut, termasuk menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi utama.

"Arahan telah dikeluarkan untuk mengenal pasti semua kamera CCTV di kawasan Putrajaya, Kuala Lumpur dan sempadan Selangor bagi meneliti pergerakan kenderaan yang sepadan dengan yang terlibat dalam kes kehilangan mangsa," katanya lagi. — The Star/JUSTIN ZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel danTelegram