
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada sebarang laporan kematian diterima susulan insiden kebakaran saluran gas yang berlaku di Putra Heights dekat Subang Jaya, Selangor seperti yang tular di media sosial.
Dalam satu kenyataan rasmi, KKM menegaskan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan kematian daripada mana-mana fasiliti kesihatan awam atau swasta.
"KKM mengambil maklum berkenaan beberapa komen di media sosial berkenaan kematian terkait insiden terbabit. Namun, ditegaskan KKM tiada menerima sebarang laporan daripada mana-mana fasiliti kesihatan awam atau swasta berkenaan hal ini," jelas kenyataan itu pada Khamis.
BACA LAGI : Tragedi Putra Heights: 5 kenderaan disediakan hantar anak-anak mangsa ke sekolah
BACA LAGI : [VIDEO] Api marak menjulang sampai langit, saluran paip gas bocor punca kebakaran di Putra Heights
Menurut KKM, satu laporan polis dibuat, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.
KKM menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan perkembangan terkini insiden Putra Heights.
Susulan itu, tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat tidak benar sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, sehingga pukul 12.30 tengah hari pada Rabu, seramai 150 mangsa menerima rawatan di hospital dan klinik akibat insiden berkenaan.
Daripada jumlah itu, seramai 112 mangsa dibenarkan pulang, manakala 38 lagi masih dirawat di wad hospital, terdiri daripada 17 orang di fasiliti KKM dan 21 di fasiliti kesihatan swasta.
Menurut kenyataanitu lagi, tiada kemasukan baharu direkodkan.
Sementara itu, seorang pesakit masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta dan dilaporkan menunjukkan perkembangan kesihatan yang semakin baik.
Daripada keseluruhan mangsa, seramai 127 orang mengalami kecederaan langsung akibat insiden, seperti luka kebakaran dan kecederaan fizikal lain.
Sebanyak 18 kes pula melibatkan kecederaan tidak langsung, termasuk serangan kebimbangan, panik dan tekanan darah tinggi, manakala lima lagi tidak memerlukan rawatan lanjut.
KKM menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan perkembangan terkini insiden tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram