
KELUARGA Datin Seri Pamela Ling Yueh mengharapkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa berhubung perkembangan siasatan kes kehilangannya.
Peguam, Sangeet Kaur Deo berkata, keluarga Pamela berhak mendapatkan maklumat terkini secara telus dan tidak sepatutnya bergantung kepada laporan media semata-mata.
"Kami juga menyeru menteri berkaitan untuk bersuara.
"Pastinya polis sedar Pamela adalah ibu kepada tiga anak dan seorang daripadanya menghidap penyakit kronik yang memerlukan rawatan berkala serta boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.
"Sangat sukar untuk berfikir bahawa dia akan meninggalkan anaknya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
BACA LAGI: ‘Culik diri sendiri’, famili Pamela Ling persoal teori siasatan awal polis
BACA LAGI: Peguam dakwa Pamela Ling terima tekanan, 9 kali beri keterangan di SPRM sebelum hilang
Sangeet pada masa sama mempersoalkan sekiranya terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman sementaranya di Cheras, Kuala Lumpur.
"Jika ada, adakah rakaman itu diperiksa untuk menentukan sama ada dia diekori.
"Kami berharap pihak berkuasa juga menyemak rekod tol untuk mengesan kenderaan yang digunakan untuk menculiknya," jelasnya.
Pada Khamis, polis tidak menolak kemungkinan Ling mungkin telah melakukan penculikan sendiri.
"Siasatan masih diteruskan dan ada kemungkinan dia melakukan penculikan sendiri.
"Bagaimanapun, kami akan menjalankan siasatan menyeluruh untuk menolak pelbagai kemungkinan," katanya lagi.
Pada 9 April, Ling dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Bagaimanapun, dia dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dan peguamnya memfailkan laporan polis berhubung kehilangannya pada hari yang sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram