[VIDEO] Pemandu rempuh pelanggan restoran di Sitiawan disyaki hilang kawalan, seorang maut, 7 parah — Polis


  • 112
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Tangkap layar video memaparkan kereta dipandu lelaki berusia 29 tahun terbabas ke dalam sebuah restoran di Sitiawan, Perak pada Khamis.

SEORANG pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Volvo XC90 ditahan selepas merempuh sebuah restoran di Sitiawan, Perak pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman dilaporkan berkata, kejadian kira-kira pukul 9 malam itu berlaku dipercayai akibat pemandunya hilang kawalan.

Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang lelaki berumur 29 tahun datang dari arah Kampung Koh menuju ke arah Sungai Wangi.

BACA LAGI: [VIDEO] Pesara sefamili cemas rumah disamun 5 lelaki menyamar anggota polis di Semenyih

BACA LAGI: Emas ibu boleh difaraid sesama adik-beradik perempuan walaupun dibeli atas nama anak lelaki — Pakar

"Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat di hadapan restoran berkenaan, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan sebelum merempuh bangunan restoran dan melanggar seramai lapan pelanggan.

"Pelanggan itu terdiri daripada tujuh orang dewasa dan seorang kanak-kanak yang berada di dalam restoran itu.

"Akibat rempuhan itu, pemandu cedera ringan manakala seorang wanita warga emas berumur 73 tahun yang juga pelanggan restoran tersebut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Seri Manjung (HSM)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. 

Beliau berkata, tujuh pelanggan lain termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lingkungan antara 5 hingga 38 tahun pula hanya cedera ringan dan sedang menerima rawatan di HSM.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu kenderaan telah ditahan di bawah seksyen sama untuk siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Nur Syafiqah Baharudin dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah Manjung di talian 012-6375962 atau talian 05-6899072. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram