'Bau itu, bau abah', wanita imbau kenangan mi goreng daging bungkus surat khabar


  • Massa
  • Rabu, 07 Mei 2025

Mi goreng daging yang dibungkus dalam surat khabar menjadi simbol kasih sayang seorang ayah. — 

BAGI sesetengah individu, bau makanan bukan sekadar pembuka selera semata-mata, sebaliknya membawa makna lebih mendalam apabila ia menjadi simbolik kepada kenangan masa lalu.

Sama seperti kisah mi goreng dibungkus dengan surat khabar yang dikongsikan pengguna akaun Facebook Suhasnida Ismail pada Selasa. 

Kongsinya, mi goreng daging yang panas dalam helaian surat khabar lama menjadi memori paling berharga.

BACA LAGI: [VIDEO] Alunan al-Quran tenangkan pemandu di India elak dikejar sekumpulan perompak menyorok dalam semak

BACA LAGI: [VIDEO] Sekumpulan pelajar hisap vape di surau Batu Caves, pihak sekolah tampil ambil tindakan tegas

Ia juga simbol kasih sayang seorang ayah yang tidak mungkin dapat dilupakan. 

"Ada satu bau yang takkan pernah hilang dari kepala aku. Bau mi goreng daging, panas-panas, dibungkus dalam surat khabar lama.

"Bila buka bungkusan tu, keluar wap yang bawa sekali bau limau nipis, kicap pekat dan sedikit haruman kacang goreng.

"Bau itu, bau kasih sayang. Bau itu, bau abah. Setiap kali abah dapat gaji, dia akan balik rumah senyap-senyap, tarik tangan aku.

"Dia kata 'jom ikut abah'. Naik motor buruk dia, aku duduk belakang, peluk pinggang abah kuat-kuat. Tak tahu nak ke mana, tapi hati aku selalu tahu kita nak pergi makan mi goreng daging," tulisnya. 

Menurutnya, meskipun kedai menjual mi itu hanya dilengkapi kipas berpusing perlahan dan meja panjang biasa, namun keistimewaannya terletak pada kecekapan tukang masak yang memasak tanpa henti.

Baginya, mi goreng tersebut juga dimasak dengan bahan segar dan cara yang bersih.

Bertahun sudah berlalu, namun, bau mi goreng itu masih hidup dalam ingatannya dan menjadi kenangan tentang bapanya.

"Mi mungkin mudah. Tapi kadang-kadang yang paling mudah itulah yang paling dalam kesannya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram