
KELUARGA Datin Seri Pamela Ling Yueh, wanita yang hilang ketika dalam perjalanan bagi memberikan keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil mempersoalkan teori siasatan polis mengenai kemungkinan penculikan berlaku itu sebagai sesuatu sudah dirancang.
Peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili keluarga Pamela berkata, teori itu dilihat berisiko untuk menjadi tidak lebih daripada sekadar satu pengalihan tumpuan.
"Adakah ini diambil daripada dakwaan bahawa dia 'masuk kenderaan tanpa bergelut'?
"Jika ini adalah teori yang sedang disiasat, diharap ada sebab yang kukuh untuk meneruskannya Jika tidak, ia berisiko tidak lebih daripada pengalihan fokus.
"Sekiranya dia didekati oleh individu dipercayai pegawai polis, tindakannya untuk patuh bukan sahaja boleh difahami, malah ia sepatutnya dijangka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Sangeet turut mengingatkan bahawa polis tidak seharusnya memutarbelitkan pematuhan wanita tersebut sebagai bermaksud bersubahat.
"Kami menyokong keperluan untuk siasatan menyeluruh. Tetapi apa yang dilihat orang ramai kini semakin menyerupai satu tindakan pemesongan berbanding menuju ke arah yang betul.
"Sebulan penuh telah berlalu tanpa jawapan sebenar dan tanpa sebarang usaha segera.
"Keluarga ini, terus tidak menerima sebarang kemas kini rasmi melebihi apa yang dilaporkan dalam media dan mereka mempunyai sebab untuk mempersoalkan keseriusan siasatan dijalankan," katanya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.
Pada Khamis, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis tidak menolak kemungkinan Pamela mungkin telah merancang penculikannya sendiri.
Pada 9 April lalu, Ling dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Bagaimanapun, dia hilang ketika dalam perjalanan ke tempat dituju.
Peguamnya memfailkan laporan polis berhubung kehilangannya pada hari sama.
Sehingga 4 Mei lalu, tiada sebarang tuntutan wang tebusan dibuat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini berkata, suami Ling antara individu boleh menjadi suspek kehilangan wanita tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram