
TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah memulakan siasatan terhadap semua pesawat pejuang Hawk di bawahnya untuk memastikan tahap keselamatannya bagi terus beroperasi.
Berita Harian melaporkan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siasatan itu sudah dijalankan selepas kejadian membabitkan pesawat pejuang dihasilkan BAE Systems dari Britain itu yang tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Alor Setar, Kedah, pada Selasa.
"TUDM telah memulakan siasatan untuk pastikan keselamatan semua pesawat pejuang Hawk berkenaan.
"Terpulang pada TUDM berapa lama tempoh siasatan akan mengambil masa," katanya.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melancarkan Projek Jana Veteran Boustead Plantations Berhad di Ladang Telok Sengat, Kota Tinggi, Johor pada Khamis.
TUDM pada Selasa lalu mengesahkan sebuah pesawat pejuang jenis Hawk 208 miliknya tergelincir dari landasan selepas mengalami masalah pada gear pendaratan hadapan ketika melakukan pendaratan di LTSAH.
Dalam kenyataan rasminya, TUDM memaklumkan insiden berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika pesawat berkenaan menjalani latihan 'Opening Gambit' sebagai persiapan acara pembukaan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA '25).
Bagaimanapun, juruterbang pesawat dilapor selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
TUDM memiliki dan menggunakan pesawat pejuang Hawk Mk108/Mk208 sejak 1994 dan 1995.
Pasukan tentera udara negara itu juga kini mengoperasikan 12 pesawat Hawk 208 dan empat Hawk 108 jenis dua tempat duduk. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram