Bekas atlet pemanah paralimpik kebangsaan meninggal, selamat dikebumikan di Kamunting


  • Podium
  • Isnin, 27 Jan 2025

Yuhaizam pernah mencipta kejayaan di pentas antarabangsa, termasuk meraih pingat emas dalam acara individu di Sukan Para Asean 2011 di Solo sebelum mengulangi pencapaian tersebut pada edisi 2015 di Singapura.

BEKAS pemanah paralimpik, Mejar Yuhaizam Yahya, dilaporkan meninggal dunia selepas dimasukkan ke Hospital Taiping, Perak, pada Ahad (26 Januari).

Untuk rekod, Yuhaizam pernah mewakili negara dalam Sukan Paralimpik Rio 2016.

Menurut laporan media, jenazah Allahyarham Yuhaizam, 53 tahun, telah disolatkan di Masjid Jamek Bukit Jana, Kamunting, Perak, sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Changkat Larah & Batu 6, Kamunting, pada pukul 11 pagi, Isnin (27 Januari).

BACA LAGI: Cecelia Yap mohon maaf hina agama Islam, sedia beri kerjasama dengan polis

BACA LAGI: [VIDEO] Bil pesanan ikan bakar, 'shellout' nak cecah RM2,000 tapi scam 'transfer' satu sen

Sementara itu, pemanah paralimpik negara, Mohd Zafi Mat Salleh, yang juga pernah beraksi di Sukan Olimpik London 2012, meluahkan rasa terkejut atas berita pemergian rakan seperjuangannya itu. Beliau turut memaklumkan bahawa mereka pernah berbincang untuk mengadakan perjumpaan semula bersama bekas atlet dan jurulatih.

"Saya mengenali Allahyarham sejak 2010, dan kami mempunyai banyak kenangan ketika berlatih dan bertanding bersama. Allahyarham adalah seorang yang berdisiplin, mempunyai semangat juang yang tinggi, dan sering memberikan dorongan kepada rakan-rakan. Beliau adalah mentor bagi saya sendiri.

"Baru-baru ini kami biasa berbalas mesej dan sedang merancang untuk mengadakan pertemuan dengan bekas rakan sepasukan dan jurulatih di Kuala Lumpur. Jadi, berita ini benar-benar mengejutkan saya," katanya kepada media.

Sebagai rekod, Yuhaizam adalah bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terselamat dalam kejadian pesawat terhempas di Butterworth pada 2004, yang turut meragut nyawa dua rakan karibnya.

Dalam kejadian yang berlaku pada 5 Mac 2004 sekitar pukul 7.21 pagi itu, pesawat Nuri yang dipandu oleh Yuhaizam terhempas di kawasan perumahan Taman Udara, Permatang Tengah, Butterworth, mengorbankan pembantu juruterbang Kapten Dicky Rishi Chin, 27 tahun, dan Sarjan Zailani Ab Kadir, 37 tahun. Yuhaizam mengalami kecederaan serius, termasuk pada tulang belakang, dan terpaksa menggunakan kerusi roda akibat insiden tragis tersebut.

Selain penyertaannya di Sukan Paralimpik, Yuhaizam juga mencipta kejayaan di pentas antarabangsa, termasuk meraih pingat emas dalam acara individu di Sukan Para Asean 2011 di Solo, Indonesia, sebelum mengulangi pencapaian tersebut pada edisi 2015 di Singapura. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram