![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/08/3157835.jpg)
INDIVIDU yang dipilih bagi menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 wajib menghadiri latihan atau memohon penangguhan jika tidak dapat hadir.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran berkata, individu yang sudah bekerja perlu mendapatkan cuti daripada majikan yang perlu memberikan justifikasi sekiranya menolak permohonan untuk melepaskan pekerja bagi mengikuti latihan PLKN.
"Jika majikan tidak memberikan kebenaran, kami akan melaksanakan proses lain," katanya kepada pemberita semasa sesi latihan menembak senjata ringan PLKN 3.0 2025 di Lapang Sasar Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Seramai 67 mengikuti sesi latihan menembak senjata ringan pada Sabtu.
Ya'cob berkata, permohonan penangguhan itu perlu dilakukan pada siri kedua dan seterusnya kerana hanya siri pertama PLKN 3.0, para pelatih hadir secara sukarela.
Mengulas mengenai sesi latihan menembak senjata ringan, Ya’cob berkata, ia dibahagikan kepada dua hari iaitu seramai 67 pelatih pada Sabtu dan seramai 53 pelatih pada Ahad.
Beliau berkata, bagi sesi pada Sabtu, seramai 40 pelatih lelaki dan 27 wanita memulakan sesi latihan pada pukul 9 pagi di bawah pemantauan 10 jurulatih daripada Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
"Sebelum menembak, para pelatih diberikan peluang atau pembelajaran berkenaan dengan pengurusan senjata sekurang-kurangnya lebih seminggu,” katanya.
Tinjauan di tempat berkenaan mendapati sesi menembak senjata ringan dimulakan dengan latihan pelarasan senjata ringan pada jarak 25 meter (m) diikuti jarak 100m menggunakan senapang M16.
Sebelum latihan bermula, jurulatih Kapten Muhammad Shawal Mohamad Illias memberikan taklimat keselamatan kepada kesemua pelatih termasuk pengamal media yang hadir.
Pada 12 Januari, seramai 120 pelatih diterima menyertai plkn 3.0 siri pertama 2025 membabitkan 80 pelatih lelaki dan 40 wanita berumur antara 18 hingga 25 tahun.
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan jumlah itu termasuk 13 orang yang hadir secara terus datang pada sesi pendaftaran di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah membabitkan pelbagai latar belakang bangsa, agama, pendidikan dan lokaliti.
Sementara itu, Ya'cob berkata, penggunaan pakaian celoreng tentera bagi peserta PLKN 3.0 selaras dengan amalan negara lain, selain kos yang lebih murah berbanding pakaian seragam alternatif.
"Jika kita mahu menggunakan pakaian yang lain daripada pakaian tentera ini, kita akan melalui proses yang agak lama dan kosnya lebih mahal,” katanya.
Beliau berkata, pelatih juga akan mengembalikan semula pakaian seragam berkenaan selepas tamat latihan dan pelatih siri akan datang bakal menggunakan pakaian celoreng sedia ada. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram