
JAWATAN Ketua Polis Negara (KPN) yang disandang Tan Sri Razarudin Husain, 62, dilaporkan akan tamat pada Jun nanti, sekali gus mencetuskan persoalan siapakah calon penggantinya.
Susulan itu, terdapat juga beberapa nama yang menjadi sebutan sekiranya kontrak Razarudin tidak disambung.
Menerusi perkongsian bekas wartawan jenayah, Syahril A Kadir, antaranya ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim serta Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
BACA LAGI: Tak pernah tinggal solat berjemaah, guru meninggal dunia saat keluar masjid di Parit Buntar
Jawatan Razarudin secara kontraknya dilaporkan akan tamat pada Jun nanti. — The Star
Menurutnya, di saat ramai yang merasakan Timbalan KPN adalah yang paling layak, pelantikan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Datuk Mohd Nizam Jaffar baru-baru ini juga menyaksikan perubahan bersejarah apabila beliau bukan daripada panglima semasa di Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilantik jawatan tertinggi tersebut.
"Maknanya di sini, apa-apa sahaja boleh berlaku sekali gus menandakan jawatan KPN ini masih 'terbuka' untuk diisi dan dilantik.
"Bagi saya secara peribadi, kita sebagai orang awam hanya menerima sahaja siapa pun yang menjadi KPN dan tidak boleh bantah andai kata kita tidak berminat pada mereka.
"Cuma kalau tanya saya, saya berharap sangat-sangat pegawai yang akan dilantik ke jawatan KPN ini mempunyai keperibadian dan akhlak yang sangat terpuji kerana hanya dengan ini sajalah dapat menjadi benteng kepada setiap permasalahan terutama dalam rasuah dan salah guna kuasa," tulisnya dalam satu hantaran Facebook pada Jumaat.
Katanya, individu yang dilantik juga perlu lebih tegas dan tidak mudah tunduk kepada arahan pihak luar terutama ahli politik.
Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga katanya, perlu dilihat bebas, bersih dan tunduk pada rule of law dan bukan rule of the jungle.
Beliau juga menekankan bahawa seseorang KPN juga harus benar-benar menjadi denyut dan nadi pegawai bawahannya, tegas tetapi prihatin, keras tetapi bertimbang rasa.
"Nak bagi anak buah hebat kena bermula dengan ketua yang hebat. Ingat, ikan yang rosak bermula dari kepala, bukan dari ekor.
"Pastikan juga KPN yang nak dilantik ini bukan saja ada ijazah bergulung semata-mata tetapi berpengalaman luas.
"Beliau tidak boleh hanya pandai memberi arahan dari bilik berhawa dingin, tetapi juga pernah 'bersukat darah dan bertimbang keringat' dalam operasi serta kerja-kerja di lapangan," tambahnya.
Beliau pada masa sama menggesa pihak kerajaan agar sentiasa memastikan setiap tomahan atau fitnah dilontarkan kepada KPN disiasat dengan adil.
Jelasnya, PDRM juga harus dipastikan tidak berpuak dan membiarkan diri mereka dikawal oleh kartel atau pihak berkepentingan di luar apatah lagi yang di dalam organisasi itu sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram