[VIDEO] Dua beranak parah kemalangan berantai di simpang Bukit Subang, pemandu lori ditahan


  • 112
  • Khamis, 08 Mei 2025

Gambar tular memaparkan sebuah lori melanggar enam kenderaan di susur keluar Lebuhraya Guthrie menghala ke lampu isyarat Bukit Subang pada Rabu.

SEORANG pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemalangan membabitkan enam kenderaan di susur keluar Lebuhraya Guthrie menghala ke lampu isyarat simpang Bukit Subang dekat Shah Alam, Selangor yang menyebabkan dua beranak cedera parah pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian yang berlaku sekitar pukul 1.20 petang itu melibatkan seorang pemandu lelaki berusia 31 tahun. 

"Pemandu lori dari Batu Arang menuju ke Cyberjaya itu dipercayai hilang kawalan terhadap kenderaan yang dipandunya sebelum merempuh kenderaan lain.

BACA LAGI : Selari dengan amalan biasa, Ayob Khan pilihan tepat untuk ketuai PDRM — Penganalisis Jenayah

BACA LAGI : [VIDEO] 'Biar miskin, jangan jadi scammer', mangsa kongsi pengalaman ditipu menerusi pautan WhatsApp

"Hasil siasatan awal berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) mendapati lori terbabit melanggar sebuah kereta terlebih dahulu sebelum kereta itu melanggar empat lagi kenderaan di lorong bersebelahan.

"Kesemua kenderaan yang terlibat mengalami kerosakan teruk manakala pemandu kereta berusia 29 tahun dan anak perempuannya berusia empat tahun yang berada dalam kerusi kanak-kanak di bahagian belakang cedera parah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, kenderaan lain yang terlibat dalam insiden itu ialah dua buah kereta, sebuah van dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta menghubungi Inspektor Azie Azyantie Mohd Rafae di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di 03-61561222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram