[VIDEO] Israel serang lapangan terbang Yaman, musnahkan 3 pesawat awam


  • Benua
  • Rabu, 07 Mei 2025

Tangkap layar video memaparkan sebuah pesawat awam yang musnah di Lapangan Terbang Sanaa dalam serangan Israel pada Selasa.

ISRAEL melancarkan serangan yang dilapor melumpuhkan sepenuhnya lapangan terbang utama Yaman di ibu kota Sanaa, yang dikawal oleh kumpulan Houthi.

Serangan pada Selasa menyasarkan tiga pesawat awam, balai berlepas, landasan dan pangkalan udara tentera, menurut sumber lapangan terbang yang memberitahu Reuters.

Seorang pegawai memberitahu AFP bahawa lapangan terbang itu telah musnah sepenuhnya.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Houthi berkata, sekurang-kurangnya tiga mangsa terbunuh dan berikrar untuk melakukan tindak balas.

Serangan itu berlaku dua hari selepas Houthi yang disokong Iran melepaskan peluru berpandu yang jatuh berhampiran lapangan terbang utama Israel, memaksa ia ditutup seketika.

Israel mula bertindak balas pada Isnin dengan menyerang bandar pelabuhan Yaman, Hudaydah, sebelum menyasarkan lapangan terbang Sanaa pada hari berikutnya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa sesiapa yang menyasarkan Israel akan menerima padah.

Seorang anggota ahli badan politik tertinggi Houthi, Mohammed Ali al-Houthi, menyifatkan serangan Israel sebagai satu tindakan keganasan yang gagal.

"Sokongan untuk Gaza diteruskan, maklum balas menyusul, dan Netanyahu mesti bersedia untuk meletak jawatan," katanya.

Pegawai lapangan terbang itu berkata, tiga pesawat yang musnah adalah milik Yemenia Airlines.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, ia menyerang infrastruktur landasan, pesawat dan kemudahan lain di lapangan terbang Sanaa.

Ia juga mendakwa Houthi menggunakan lapangan terbang itu untuk memindahkan senjata dan sebagai tempat operasi.

Tentera Israel berkata, pihaknya turut menyerang stesen janakuasa di Sanaa, yang disifatkannya sebagai infrastruktur bekalan elektrik yang penting untuk Houthi dan kilang simen al-Imran di utara bandar itu.

Sementara itu pada Selasa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, negaranya akan berhenti menyerang Houthi jika kumpulan itu menyerah

"(Houthi) tidak mahu berperang, dan kami akan menghormatinya dan kami akan menghentikan pengeboman, dan mereka akan menyerah kalah," katanya ketika bercakap bersama Perdana Menteri Kanada, Mark Carney di Rumah Putih.

Tidak lama selepas itu menteri luar Oman menyiarkan bahawa AS dan Houthi telah bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata yang mana kedua-dua pihak tidak akan menyerang pihak lain memastikan kebebasan pelayaran dan aliran perkapalan komersial antarabangsa yang lancar.

Serangan Israel pada Selasa berikutan serangannya sehari sebelumnya ke atas Hudaydah.

Asap berkepul di udara bandar Sanaa pada Selasa berikutan serangan udara Israel. — Agensi

Pelabuhan tersebut adalah yang kedua terbesar di Laut Merah selepas Aden, dan merupakan pintu masuk untuk kira-kira 80 peratus import makanan Yaman.

Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 35 yang lain cedera dalam serangan pada Isnin, kata Houthi.

Kumpulan itu menyalahkan AS dan Israel secara bersama atas serangan itu, tetapi seorang pegawai pertahanan AS memberitahu agensi berita AFP bahawa pasukan mereka tidak mengambil bahagian.

Peluru berpandu Houthi dilepaskan ke arah lapangan terbang Ben Gurion, dekat Tel Aviv, pada Ahad dan jatuh di sebelah jalan masuk berhampiran terminal utama.

Perkhidmatan kecemasan Israel melaporan seramai enam orang cedera dalam insiden tersebut.

Susulan serangan itu, Houthi berkata mereka akan mengenakan sekatan udara menyeluruh ke atas Israel dengan menyasarkan lapangan terbang sebagai tindak balas kepada rancangan Israel untuk memperluaskan operasi ketenteraannya di Gaza.

Israel melancarkan beberapa pusingan serangan sebelum ini terhadap Houthi di Yaman, termasuk menyasarkan loji janakuasa dan pelabuhan pada Januari.

Ia sebelum ini menyerang lapangan terbang Sanaa pada Disember tahun lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram