[VIDEO] Lepas Trump arah bedil Yaman, bencana alam 3 serangkai landa AS ragut puluhan nyawa sekelip mata


  • Benua
  • Isnin, 17 Mac 2025

Oklahoma, Texas, dan Kansas antara negeri yang paling teruk terjejas apabila puting beliung meranapkan rumah, mencederakan penduduk, serta menyebabkan beberapa kawasan terputus bekalan elektrik. — Agensi

AMERIKA Syarikat (AS) dilanda siri bencana alam yang dahsyat selepas Presiden Donald Trump mengarahkan serangan ke atas Yaman, mengorbankan sekurang-kurangnya 32 nyawa dan menyebabkan kemusnahan meluas di beberapa negeri.

Keputusan Trump untuk melancarkan serangan ke atas Yaman terus mengundang kontroversi, dengan sesetengah pihak mengaitkan malapetaka yang menimpa AS itu sebagai satu bentuk 'karma' terhadap tindakan ketenteraan yang diambil.

Manakan tidak, fenomena cuaca ekstrem yang melibatkan puting beliung, kebakaran hutan, dan ribut debu melanda beberapa kawasan di tengah dan barat AS menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan mengorbankan beberapa nyawa.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki pukul pelajar sehingga berdarah di Kajang sudah ditahan, Caprice dedah individu yang sama pernah tampar 2 budak lelaki tahun lalu

BACA LAGI: [VIDEO] Perompak bertopeng dan berparang mati ditembak di Sepang berbahaya, guna MO pulang ke negara asal lepas buat jenayah — Polis

Memetik laporan media antarabangsa, Oklahoma, Texas dan Kansas antara negeri yang paling teruk terjejas apabila puting beliung meranapkan rumah, mencederakan penduduk serta menyebabkan beberapa kawasan terputus bekalan elektrik.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) turut memberi amaran bahawa ancaman cuaca buruk masih berterusan di beberapa kawasan.

Tornado yang melanda Alabama dan Missouri meragut banyak nyawa serta memusnahkan kediaman.

Di Alabama, tiga individu terbunuh, termasuk seorang wanita berusia 82 tahun, selepas rumahnya musnah dihentam angin puting beliung.

 

 

 

 

Sementara itu, Missouri menjadi negeri paling teruk terjejas dengan sekurang-kurangnya 12 kematian akibat beberapa tornado yang merosakkan kawasan kediaman, termasuk Wayne County yang menyaksikan mayat-mayat berselerakan di antara runtuhan rumah.

Di Mississippi, Gabenor Tate Reeves mengesahkan enam kematian, sementara tiga individu masih hilang.

Seorang penduduk, Traci Ladner, menyaksikan sendiri bagaimana sebuah rumah musnah diterbangkan angin ribut ketika dia dalam perjalanan pulang.

Di Arkansas pula, tiga lagi kematian dilaporkan akibat ribut kencang yang membadai beberapa daerah. Penduduk yang terselamat berkongsi pengalaman menakutkan ketika cuba menyelamatkan diri daripada bencana yang berlaku secara tiba-tiba ini.

Di Kansas dan Texas pula, ribut debu yang dicetuskan oleh angin kencang menyebabkan sekurang-kurangnya 11 kematian. Kansas menyaksikan lapan kematian dalam kemalangan lebuh raya melibatkan lebih 50 kenderaan, manakala tiga lagi maut di Texas akibat kemalangan yang berpunca daripada jarak penglihatan yang terhad.

Oklahoma pula berdepan dengan lebih 130 kebakaran hutan yang merosakkan hampir 300 rumah.

Sebelum ini, media melaporkan tentera AS melancarkan gelombang serangan udara yang dianggap ke atas kumpulan pemberontak Houthi di Yaman.

Menurut Trump, serangan itu merupakan tindak balas terhadap tindakan Houthi menyerang kapal-kapal dagang di Laut Merah, yang dikatakan mengancam keselamatan perkapalan antarabangsa.

Trump menuduh kumpulan Houthi, yang didakwanya mendapat sokongan kewangan dari Iran, melancarkan peluru berpandu ke arah pesawat AS serta menyasarkan tentera dan sekutu mereka.

Dalam satu kenyataan di media sosial, Trump menyifatkan tindakan kumpulan itu sebagai 'lanun, ganas, dan pengganas,' yang menyebabkan kerugian berbilion dolar serta mengancam nyawa ramai pihak.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Houthi melaporkan sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dan 101 lagi cedera akibat serangan udara tersebut.

Dalam satu kenyataan susulan, kumpulan Houthi menegaskan bahawa mereka akan terus menyasarkan kapal-kapal dagang di Laut Merah selagi sekatan Israel ke atas Gaza tidak ditamatkan, selain berikrar untuk membalas serangan AS itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram