[VIDEO] Mekanik di Muar rugi hampir suku juta ringgit, kereta dan rumah jadi sasaran ‘penyamun 6 minit’


  • 112
  • Isnin, 05 Mei 2025

Tangkap layar rakaman CCTV memaparkan salah seorang suspek (bulatan merah) sedang cuba memecah masuk rumah mangsa pada Jumaat.

SEKUMPULAN pencuri di Muar mengambil masa tidak sampai enam minit untuk memecah masuk dan melarikan kenderaan di sebuah rumah di daerah tersebut pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian tersebut, pemilik rumah yang juga seorang mekanik dilaporkan mengalami kerugian mencecah RM230,000 termasuk kehilangan keretanya jenis Lexus.

Menerusi klip kamea litar tertutup (CCTV) di lokasi, kegiatan itu dilakukan oleh sekumpulan empat orang suspek yang menaiki kenderaan jenis Perodua Alza berwarna ungu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian disedari mangsa berusia 38 tahun selepas dihubungi jirannya yang terdengar bunyi mencurigakan dari arah rumah sekitar jam 9 pagi.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

“Mangsa yang berada di tempat kerja segera pulang dan mendapati rumah dalam keadaan berselerak. Sebuah kenderaan jenis Lexus yang diletakkan di hadapan rumah turut didapati hilang.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memecah masuk rumah dan melarikan wang tunai serta kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda, atau sehingga 14 tahun jika melibatkan kecurian.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun serta denda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah keselamatan tambahan seperti memasang sistem penggera, kamera litar tertutup (CCTV), pengunci tambahan dan sentiasa memantau keadaan rumah.

“Kerjasama masyarakat amat penting bagi mencegah jenayah dan memastikan kawasan perumahan kekal selamat,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram