
MAYAT dua beradik Orang Asli yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Kampung Gilat dekat Kampung Lubok Kawah, Kuala Krai, Kelantan ditemukan pagi Isnin di dua lokasi berasingan.
Kedua-dua mangsa ditemukan selepas lebih 42 jam dilaporkan hilang pada Sabtu.
Mangsa, Irruwan Rantau, 17, ditemukan terapung di Sungai Kelantan berhampiran Paloh Rawa, Machang kira-kira pukul 8.50 pagi, manakala adiknya, Rahidi, 16, ditemukan sejam setengah kemudian di kawasan Pangkalan Pasir, Bukit Panau.
BACA LAGI : Selari dengan amalan biasa, Ayob Khan pilihan tepat untuk ketuai PDRM — Penganalisis Jenayah
BACA LAGI : [VIDEO] Larikan RM500, polis buru geng pecah masuk restoran di Ulu Tiram
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Durian, Zulhilmi Baharudin berkata, jarak penemuan mayat Irruwan adalah kira-kira 25 kilometer dari lokasi dia dipercayai lemas, manakala adiknya dijumpai sejauh 35 kilometer.
"Mayat kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan terapung oleh orang awam selepas dihanyutkan arus deras sungai selama lebih 24 jam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jenazah Irruwan dihantar ke Hospital Machang manakala Rahidi ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga mereka.
Terdahulu, media pada Sabtu melaporkan dua beradik itu dipercayai lemas semasa mandi bersama tiga rakan mereka kira-kira pukul 6.30 petang.
Dalam kejadian tersebut, ketiga-tiga rakan mereka sempat menyelamatkan diri ke tebing selepas menyedari kedua-dua mangsa mula tenggelam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram