[VIDEO] Nahas 17 kenderaan 'bumper to bumper' Lebuhraya BKE, trafik ke Kulim sesak lebih 5 jam


  • Tular
  • Isnin, 05 Mei 2025

Tangkap layar memaparkan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Butterworth–Kulim (BKE) pada Isnin.

LALUAN menuju ke Kulim, Kedah di Lebuhraya Butterworth–Kulim (BKE) sesak teruk pagi Isnin apabila berlaku kemalangan melibatkan kira-kira 17 kenderaan, termasuk beberapa buah motosikal.

Kemalangan dipercayai berlaku sekitar pukul 6.30 pagi ketika hujan lebat, menyebabkan laluan paling kanan lebuh raya menjadi licin dan berbahaya.

Rakaman video kejadian yang tular di media sosial memaparkan beberapa buah kereta berlanggar antara satu sama lain, dengan beberapa kenderaan mengalami kerosakan teruk dan perlu ditunda keluar dari laluan.

BACA LAGI: [VIDEO] Larikan RM500, polis buru geng pecah masuk restoran di Ulu Tiram

BACA LAGI: Pemandu treler parah diserang 2 lelaki bertopeng ketika berehat di Tanjong Karang

Beberapa buah motosikal yang turut terlibat diletakkan di bahu jalan. Setakat ini, masih tiada laporan rasmi mengenai sebarang kecederaan atau kematian.

 

 

 

 

Anggota bertugas segera ke lokasi untuk membantu mengalihkan kenderaan dan mengawal lalu lintas bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku.

Orang ramai di media sosial mengaitkan kemalangan itu dengan keadaan jalan yang licin akibat hujan lebat.

Seorang pengguna, Chiang Joan, berkata rakan sekerjanya terlewat ke tempat kerja disebabkan insiden berkenaan.

Manakala Adip Amie pula memaklumkan dia akhirnya faham punca kesesakan luar biasa pagi Isnin.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia memaklumkan setakat pukul 10 pagi Isnin, lebuhraya tersebut masih lagi mengalami kesesakan di kedua-dua arah.

Berdasarkan maklumat yang dikemaskini, kesesakan aliran trafik dilaporkan sejauh tujuh km manakala laluan lorong kanan masih lagi terhalang.

Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.

Orang awam dinasihatkan memandu dengan lebih berhati-hati, terutamanya ketika cuaca buruk.— The Star/ N.TRISHA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram