Pemandu treler parah diserang 2 lelaki bertopeng ketika berehat di Tanjong Karang


  • 112
  • Sabtu, 03 Mei 2025

Seorang pemandu treler berusia 54 tahun cedera selepas diserang dua lelaki bertopeng dalam cubaan samun berhampiran sebuah stesen minyak di Parit 4 dekat Tanjong Karang, Selangor pada Jumaat.  — Gambar/Orang Awam

SEORANG pemandu treler cedera selepas diserang dua lelaki bertopeng dalam cubaan samun berhampiran sebuah stesen minyak di Parit 4 dekat Tanjong Karang, Selangor pada Jumaat. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa berusia 54 tahun dipercayai sedang berehat di dalam kenderaan berat yang dipandunya ketika dalam perjalanan menghantar barang dari Klang, Selangor ke Butterworth, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati dua suspek bertopeng memecahkan cermin tingkap bahagian pemandu treler dalam usaha untuk mencuri barangan milik mangsa.

BACA LAGI : [VIDEO] Nelayan terjatuh ketika sauk kerang di Pulau Pinang ditemukan lemas di kawasan sangkar ikan Sungai Udang

BACA LAGI : Budak 5 tahun maut tertinggal lima jam dalam van sekolah, pemandu ditahan di Iskandar Puteri

"Namun, cubaan samun itu gagal selepas mangsa melawan dan menjerit meminta tolong, menyebabkan kedua-dua suspek bertindak melarikan diri,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu. 

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan dan kaki kiri akibat terkena serpihan kaca dari cermin yang dipecahkan.

Kedua-dua suspek dilaporkan melarikan diri menaiki sebuah kereta berwarna kelabu gelap, namun model serta nombor pendaftaran kenderaan itu tidak dapat dikenal pasti.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan samun.

Pihak polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram