[VIDEO] Tragedi langgar isyarat lampu merah berulang di Senawang, terkini penunggang motosikal maut dirempuh van putih


  • 112
  • Ahad, 04 Mei 2025

Tangkap layar video tular memaparkan van terbabit melanggar isyarat lampu merah sebelum merempuh seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Senawang pada awal pagi Ahad.

SATU lagi insiden kemalangan maut melibatkan kenderaan melanggar isyarat lampu merah dilaporkan berlaku di lokasi sama yang pernah meragut nyawa tiga sekawan sebelum ini di Persiaran Senawang 1, Matahari Heights, Negeri Sembilan.

Dalam kejadian terbaharu pada sekitar pukul 12.16 pagi Ahad, seorang penunggang motosikal maut apabila dirempuh oleh sebuah van berwarna putih di sebuah persimpangan lampu isyarat.

Difahamkan, insiden tersebut berlaku di persimpangan sama tragedi sebelum ini melibatkan mangsa tiga sekawan masing-masing berusia 18, 17 dan 13 tahun yang maut dirempuh Honda Jazz sekitar Mac lalu.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Rakaman daripada kamera papan pemuka kenderaan di lokasi turut jelas menunjukkan sebuah kenderaan melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh motosikal yang baru sahaja bergerak keluar dari simpang terbabit.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kemalangan terbabit membabitkan sebuah van yang menghala ke Paroi dengan sebuah motosikal.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila van jenis Toyota Hiace yang dipandu seorang lelaki berumur 44 tahun bersama seorang penumpang wanita berumur 20 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Bahau.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu van dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat merah lalu melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri," katanya dalam satu kenyataan.

Akibat kemalangan, beliau berkata, penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR berumur 20 tahun yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi.

"Pemandu dan penumpang van tidak cedera. Mayat penunggang motosikal yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau," katanya.

Mohamad Hatta memaklumkan pemandu van ditahan untuk siasatan lanjut dan ujian kandungan alkohol dalam badan mendapati keputusan negatif.

Polis meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram